KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui anak syarikatnya Petronas LNG Ltd (PLL) telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) dengan Korea Midland Power Co Ltd (KOMIPO).
Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata, di bawah SPA, KOMIPO telah bersetuju untuk membeli kira-kira 0.24 juta tan setahun LNG dari PLL pada asas penghantaran muatan selama lima tahun bermula pada tahun 2020.
Naib presiden pemasaran dan perdagangan LNG, Ahmad Adly Alias berkata, perjanjian ini membuktikan keupayaan pertumbuhan PLL dengan menyediakan penyelesaian tenaga bersih, juga sebagai rakan kongsi mampan pada masa depan.
Sementara itu, Presiden KOMIPO dan Ketua Pegawai Eksekutif Hyung Koo Park berkata, PLL adalah salah satu daripada pembekal LNG yang terkemuka di dunia dan diiktiraf oleh industri sebagai syarikat yang paling dipercayai.
“Itu sangat bermakna kepada KOMIPO untuk membina hubungan perniagaan yang baik dengan PLL dalam banyak cara,” ujarnya. – MalaysiaGazette