KUALA LUMPUR – Empat lebuh raya Lembah Klang yang diambil alih kerajaan selepas tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada akan diswastakan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART (SMART).
“Empat lebuh raya ini akan kita mengkaji lebih terperinci dan akan diswastakan,” kata Perdana Menteri ringkas.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat sini hari ini.
Dalam pembentangannya, Guan Eng mengumumkan Kabinet telah meluluskan pengambilalihan KESAS, LDP, SPRINT dan SMART.
“Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada.
“Pengambilalihan lebuh raya ini tidak akan membebankan kerajaan kerana kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan,” katanya lagi.
Bagi menampung kos itu, Guan Eng berkata, caj kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak.
“Ini akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette