Home Ekonomi Bank Rakyat catat untung RM867.65j

Bank Rakyat catat untung RM867.65j

KUALA LUMPUR- Kumpulan Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) sebanyak RM867.65 juta pada separuh tahun 2019 berakhir 30 Jun lalu, meningkat berbanding RM735.46 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan lebih tinggi itu berjaya dicapai meskipun terdapat cabaran dari segi margin keuntungan bersih kumpulan ekoran penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan sentimen pengguna yang lemah.

Menurut bank koperasi itu, keuntungan tersebut disumbang terutamanya oleh aktiviti-aktiviti pembiayaan dan perbendaharaan dan dalam masa yang sama berjaya mengekalkan kos operasi dalam tempoh tersebut.

Pulangan terhadap dana pemegang saham adalah 10 peratus, merupakan antara yang tertinggi dalam industri.

Bagi tempoh separuh tahun 2019, pendapatan operasi teras meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM3.2 bilion berbanding RM3.21 bilion tahun lepas.

Prestasi positif ini disumbang terutamanya oleh pendapatan daripada aktiviti perbendaharaan yang berkembang sebanyak 5.2 peratus kepada RM670 juta didorong oleh imbang kira pengurusan yang seimbang, memberi fokus kepada risiko rendah tetapi pelaburan stabil.

Pendapatan daripada aktiviti pembiayaan berkembang 1 peratus kepada RM2.57 bilion berbanding RM2.55 bilion sebelum ini didorong ileh pertumbuhan sederhana pembiayaan dan persaingan sengit di dalam pasaran.

Jumlah keseluruhan aset kumpulan berkembang sebanyak 1.6 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM108.17 bilion berbanding RM106.47 bilion tahun lepas. – MalaysiaGazette