Home Belanjawan 2020 Belanjawan 2020: RM299 juta untuk program sukan

Belanjawan 2020: RM299 juta untuk program sukan

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM299 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2020 untuk melaksanakan Program Sukan Untuk Semua termasuk memulih dan menaik taraf kemudahan sukan, seperti kompleks belia dan sukan serta kompleks sukan komuniti seluruh negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, selain itu, RM179 juta akan diperuntukkan untuk persiapan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Hanoi 2021 serta pembangunan atlet paralimpik.

“RM45 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara berbanding dengan RM15 juta pada Belanjawan 2019,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Guan memberitahu, bagi melahirkan lebih ramai lagi atlet wanita bertaraf dunia pada masa akan datang, kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta ringgit untuk pembangunan atlet wanita.

“Kejayaan atlet wanita negara seperti Datuk Nicol Ann David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) ke peringkat tertinggi telah membanggakan rakyat dan negara,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga akan terus mempergiatkan program pembangunan belia dengan memperuntukkan RM138 juta untuk Kelab Pemuda Belia (YPC), Malaysia Future Leaders School (MFLS) dan inisiatif sukarelawan. – MalaysiaGazette