Home Nasional Belanjawan 2020 tidak peduli golongan muda – DPIM

Belanjawan 2020 tidak peduli golongan muda – DPIM

Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2020 yang diumum Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini didakwa tidak mempeduli golongan muda yang berpendapatan sederhana (M40).

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, cabaran besar bakal ditempuh oleh anak muda apabila kesejahteraan ekonomi golongan itu tidak dipeduli dalam belanjawan kali ini.

Katanya, Cukai Digital yang diperkenalkan mulai 1 Januari 2020 bakal merencatkan perkembangan industri digital di Malaysia, termasuk usahawan muda yang sememangnya cenderung ke arah industri berkenaan.

“Kerajaan dilihat terdesak memungut cukai hingga mahu mengambil cukai terhadap perkara bukan fizikal atau perkara maya.

“Industri korporat dan industri permainan digital akan mengenakan harga yang lebih mahal, ditambah pula lemahnya matawang ringgit menyebabkan ramai anak muda makin tertekan,” katanya sebagai respon terhadap Belanjawan 2020 yang dibentangkan Guan Eng di Parlimen hari ini.

Menurut Sahahir lagi, DPIM turut bersimpati terhadap golongan M40 yang terus dipinggirkan oleh Pakatan Harapan walaupun mereka adalah golongan pembayar cukai yang setia kepada kerajaan.

Sebagai contoh kata beliau, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang masih dikenakan kepada warganegara Malaysia sebanyak 5 peratus.

“Anak muda golongan M40 tentunya tersepit untuk menjual aset perumahan untuk menjana pendapatan sampingan mereka.

“Kerajaan seolah-olah terus menekan golongan M40,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, hartanah bernilai RM 600,000 sudah mula boleh dijual kepada warga asing yang jika dahulu hanya boleh dibeli oleh mereka dengan nilaian hartanah bernilai RM1 juta.

Tambahnya, dasar itu sememangnya tidak membantu anak muda dan rakyat Malaysia untuk membeli mahupun memiliki rumah.

“Jelas menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan masih gagal memenuhi aspirasi rakyat dan anak muda untuk melihat lebih peruntukan pembangunan demi masa depan Malaysia.

“Jika kita bandingkan Belanjawan 2018 sewaktu Kerajaan Barisan Nasional, jumlah keseluruhan peruntukan adalah RM 282.3 Bilion, jauh lebih kecil daripada Belanjawan 2020, tetapi lebih ramai rakyat menikmati kesannya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ikut saja lah apa kerajaan nak buat. Bagi atau tidak kita hadap je lah dlm 3 tahun lebih je lagi. Lepas tu M40 pndai pandailah nak pilih siapa yg menerajui kerajaan.

Comments are closed.