Home Belanjawan 2020 Cukai pendapatan orang kaya dinaikkan

Cukai pendapatan orang kaya dinaikkan

Orang ramai tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di kaca televisyen ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR- Individu berpendapatan tinggi mengalami dua peratus kenaikan dalam pendapatan bercukai mulai tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memperkenalkan banjaran baharu pendapatan bercukai melebihi RM2 juta kepada 30 peratus berbanding 28 peratus ketika ini.

Ini katanya bagi memastikan struktur cukai yang lebih progresif.

“Kenaikan ini akan hanya memberi kesan ke atas kira-kira dua ribu orang berpendapatan tinggi di negara ini,”, katanya semasa membentangkan Bajet 2020 di Parlimen hari ini.

Selain itu, bagi menyokong pertumbuhan PKS, kerajaan mengenakan had pendapatan bercukai yang tertakluk kepada kadar 17 peratus akan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM600,000, tertakluk kepada PKS dengan modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta dan jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta.

“Hasil kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM11.2 bilion berbanding tahun 2019, tanpa mengambil kira dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion.

“Walaupun hasil meningkat dengan menggalakkan, Malaysia masih mengutip cukai yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Bagi 2017, Malaysia hanya mencatatkan hasil kutipan cukai 13.1 peratus berbanding KDNK.

“Namun, negara-negara seperti Vietnam, Chile, Poland dan Republik Korea Selatan masing-masing mencatat kutipan cukai sebanyak 19 peratus, 17.4 peratus, 16.8 peratus dan 15.4 peratus,” tambahnya. – MalaysiaGazette