KUALA LUMPUR – Kenyataan Lim Guan Eng bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa tiada lagi pimpinan DAP akan ditahan memperlihatkan seolah-olah Setiausaha Agung parti itu mahu mencampuri urusan polis.
Sehubungan itu, polis diharap jangan takut dengan sebarang perkara kerana keselamatan negara amat penting.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berharap DAP tidak campur tangan dalam siasatan PDRM kerana ia juga suatu peluang DAP membuang semua pemimpin dan ahlinya daripada sebarang unsur keganasan.
Jika DAP campur tangan ia akan dilihat seolah-olah DAP tidak mahu isu ini diselesaikan dan ada sesuatu yang ingin dilindungi.
Shamsul berkata, beliau percaya rakyat Malaysia menuntut penjelasan dari DAP kerana isu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ini melibatkan sebahagian pimpinan dan ahli mereka.
“Perkara ini mesti disiasat sedalamnya oleh pihak berkuasa, dan tindakan tegas mesti segera diambil. Ini kerana individu yang ditahan adalah mereka yang berpengaruh misalnya, Exco Kerajaan Melaka, G Saminathan, juga ADUN DAP Gadek, dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, serta beberapa individu lain.
“Saya yakin mereka yang ditahan di bawah SOSMA oleh anggota PDRM tentunya selepas intipan dan siasatan rapi yang dibuat sekian lama,” katanya yang menyifatkan berita penahanan dua pemimpin DAP itu memeranjatkan dan bukan perkara ringan.
Beliau percaya tiada kaitan dengan isu perkauman atau mahu menekan mana-mana parti politik kerana ini soal keselamatan.
Menurut beliau, pastinya pembabitan beberapa pemimpin DAP dalam gerakan ekstremis antarabangsa seperti pengganas LTTE, membimbangkan rakyat.
“Kita juga bimbang dengan tahap keselamatan rahsia negara. Mungkinkah ia dibocorkan kepada pihak-pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa? Adakah segala perbualan, dan dokumen strategik negara kini tidak lagi selamat?
“Segalanya kita serahkan kepada pihak PDRM. Namun persoalanya, apakah penahanan dua ADUN itu merupakan tip of the iceberg kepada ramai lagi anggota atau pemimpin DAP yang terlibat dalam gerakan ekstremis keganasan?
“Kita harap PDRM bertegas, dan pimpinan DAP jangan menghalang atau menggunakan pengaruh tertentu untuk PDRM melaksanakan tugas mereka,” ujarnya yang memberi pujian kepada PDRM kerana soal keselamatan negara dan rakyat tidak boleh kompromi. – MalaysiaGazette