Home Ekonomi Najib ramal defisit lebih tinggi tahun depan

Najib ramal defisit lebih tinggi tahun depan

Najib Razak

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meramalkan Bajet 2020 yang akan dibentangkan petang ini akan tersasar daripada matlamat 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar yang ditetapkan kerajaan tahun lepas.

Katanya, defisit Bajet 2020 mungkin sekitar 3.2 peratus sehingga 3.4 peratus.

Menurut beliau, keadaan ini berlaku kerana kerajaan sedar mereka sudah kehilangan hampir 35 peratus sokongan dan perlu menaikkan bantuan kepada rakyat bagi mengembalikan semula sokongan.

Ini sekaligus menyebabkan perbelanjaan negara melebihi hasil dan seterusnya menyebabkan kerajaan perlu membuat pinjaman bagi membiayai perbelanjaan.

Menurut Najib, kerajaan Pakatan Harapan tidak pandai menjana keuntungan dan hasil negara dan hanya bergantung kepada penjualan aset bagi mendapatkan pulangan yang tinggi selain menggunakan wang daripada Petronas.

“Mereka tidak lagi kisah tentang hutang negara dan akan membiarkan hutang negara untuk menepati visi mereka untuk benar-benar capai RM1 trilion.

“Mereka tidak lagi kisah penarafan kredit negara akan diturunkaan atau kisah tentang masa depan negara di mana hutang menjadi lagi tinggi tetapi aset-aset yang menjana keuntungan untuk negara untuk membayar balik hutang sudah bersih licin dijual,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Pakatan Harapan memerintah, beliau mendakwa kadar defisit fiskal telah dinaikkan kerajaan.

“Perlu ingat bahawa hutang negara sudah naik disekitar RM120 bilion sejak Pakatan Harapan memerintah.

“Kalau kita anggarkan defisit tahun depan cuma 3.2 peratus sahaja, hutang baru yang perlu dipinjam adalah melebihi RM52 bilion.

“Jika hutang bertambah purata RM55 bilion setiap tahun, hutang baru yang ditambah oleh PH selepas lima tahun untuk penggal ini adalah sekurang-kurangnya RM275 bilion.

“Jadi, hutang langsung negara sebanyak RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 akan meningkat menjadi RM962 bilion.

“Itupun jika PH tak bertambah terdesak lagi untuk memulihkan sokongan rakyat dalam tahun-tahun mendatang.

“Kita tengok dan lihat jika ramalan saya betul apabila Menteri Kewayangan mengumumkan bajet 2020 petang ini,” katanya lagi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bakal membentangkan Bajet 2020 di Dewan Rakyat petang ini.-MalaysiaGazette