RIYADH – Band pop tersohor dunia, BTS terus mencetus fenomena apabila berjaya mengadakan konsert di Arab Saudi semalam.
Beraksi di hadapan 30,000 peminat fanatik di King Fahd International Stadium, konsert BTS melakar sejarah baharu dalam karier seni mereka sekali gus melengkapkan impian dan hasrat peminat di ibu negara Arab Saudi itu.
Sebelum ini, BTS sanggup dikecam kerana bersetuju mengadakan persembahan di negara yang didakwa dikaitkan sebagai menyalahgunakan hak asasi manusia.
Namun undangan mengadakan konsert daripada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman tidak dapat ditolak BTS.
Kerajaan Arab Saudi kini semakin terbuka dalam pelbagai hubungan termasuk dalam platform hiburan dalam usaha menarik kedatangan pelancong, selain mengembangkan ekonomi negara itu.
Sebagai tarikan, menjelang konsert yang dikenali LOVE YOURSELF: SPEAK YOURSELF itu, beberapa bangunan pencakar langit di bandaraya itu bertukar warna ungu sebagai tanda meraikan kehadiran mereka.
Ungu merupakan warna yang sinonim dengan kumpulan BTS yang dianggotai oleh tujuh anak muda berjiwa besar iaitu Jin, RM, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook.
Pada konsert itu, kumpulan yang terkenal dengan aksi lincah di pentas, selain ketampanan wajah setiap anggota menjadi kegilaan penonton. – MalaysiaGazette