KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik peningkatan peruntukkan sebanyak RM877.8 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM865.29 juta bagi perbelanjaan pembangunan untuk tahun 2020 berbanding RM517.4 juta dan RM1.15 bilion pada tahun 2019.
Peruntukan tambahan untuk perbelanjaan mengurus ini akan membolehkan MITI melaksanakan lebih banyak program dan inisiatif bagi memacu promosi perdagangan dan inisiatif-inisiatif pembangunan industri, kata menterinya, Datuk Darell Leiking.
Menurutnya, peruntukan ini juga akan digunakan untuk menampung kos perbelanjaan sebagai Tuan Rumah APEC 2020 bermula dari bulan Disember 2019 hingga November 2020.
Sebagai tuan rumah, MITI sedang bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk memastikan kesemua persediaan dan penganjuran yang akan memberi faedah kepada negara termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri hospitaliti tempatan.
Katanya, komitmen Bajet 2020 untuk menggerakkan Malaysia ke fasa perkembangan perindustrian yang seterusnya adalah seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2021-2030 yang akan dilancarkan oleh MITI pada tahun 2020.
Antara strategi utama termasuk kajian menyeluruh terhadap kerangka insentif MITI supaya lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Ia sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan pilihan, serta mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dengan menarik syarikat multinasional global dan memupuk industri tempatan untuk maju ke peringkat antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan yang telah saya perkenalkan iaitu 4S – Search, Seek, Secure and Service. Hasilnya, saya berbangga dengan pencapaian Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan pada separuh pertama tahun 2019 yang meningkat sebanyak 97% kepada RM49.5 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri utama berbanding RM25.1 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
“MITI mengalu-alukan pengumuman berhubung kajian menyeluruh dan penambahbaikan Akta Promosi Pelaburan 1986, Pakej Insentif Khas dan insentif di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Insentif cukai yang tidak lagi relevan dalam ekonomi pada hari ini harus dikurangkan atau dihapuskan. Hanya syarikat yang melabur dalam teknologi tinggi, produk bernilai tambah tinggi, mewujudkan kesalinghubunganan dan membantu meningkatkan ekonomi harus diberikan insentif cukai,” katanya. – MalaysiaGazette