Home Nasional Dua lagi ahli DAP ditahan ada kaitan dengan LTTE

Dua lagi ahli DAP ditahan ada kaitan dengan LTTE

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lagi individu yang juga ahli DAP di Melak di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), hari ini.

Penahanan tersebut disahkan Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim yang memberitahu kedua-dua individu itu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Memang betul mereka ditahan di bawah SOSMA oleh pihak polis Bukit Aman hari ini dan ia berkait dengan penahanan seorang EXCO Melaka sebelum ini.

“Maklumat lanjut bagaimanapun saya tak boleh maklumkan lagi dan kita serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan,” katanya dipetik dari Berita Harian Online.

Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas pihak polis menangkap tujuh individu termasuk dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dipercayai ada kaitan dengan LTTE kelmarin.

Berita Harian turut melaporkan Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew, mengesahkan kedua-dua individu itu ialah Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.

“Saya difahamkan mereka ditahan di rumah masing-masing, sekitar Durian Tunggal, Alor Gajah, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi,” katanya.

Mereka ditahan kerana didakwa mempromosikan, menyokong, dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan kumpulan pengganas itu. – MalaysiaGazette