Home Nasional MIC harap tiada siapa teraniaya dalam tangkapan LTTE

MIC harap tiada siapa teraniaya dalam tangkapan LTTE

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan berucap pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – MIC tidak menyoal tentang kredibiliti polis dalam tindakannya menahan individu-individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebaliknya menerima tindakan tersebut.

Namun pada masa sama, parti tersebut berharap tangkapan itu tidak menganiayai mana-mana pihak dan dibuat berdasarkan bukti kukuh, kata Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

“Salah tetap salah dan ini adalah soal keselamatan, sesuatu yang sangat penting melibatkan negara dan rakyat. Tetapi saya cuma hendak ingatkan janganlah yang tidak bersalah juga terhukum sekali.

“Bagus seandainya Ketua Polis Negara memberi jaminan tangkapan ini sebenarnya mengikut SOP yang betul,” katanya yang mengulas penahanan tujuh individu termasuk dua pemimpin DAP didakwa dipercayai terbabit dengan LTTE.

Dua pemimpin DAP itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Terdahulu, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan hak asasi tujuh orang yang ditahan kerana disyaki mempromosi, menyokong dan menderma kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). tidak akan dikompromi.

Sebaliknya, beliau mendedahkan telah mengarahkan pegawai yang menyiasat kes itu supaya memastikan suspek diberikan akses berjumpa peguam dan lawatan ahli keluarga.

“Ingat ya, ini bukan tentang agama atau kaum. Ini merupakan satu siasatan sebenar kumpulan pengganas yang boleh ganggu gugat negara.

“Saya sudah beritahu jabatan bertanggungjawab untuk memastikan hak asasi tahanan dipenuhi. Pihak-pihak ini akan diberikan akses kepada peguam dan ahli keluarga dibenarkan melawat.

“Saya tidak mahu dengar langsung tentang aduan yang hak mereka dinafikan,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam mendakwa sepanjang pembabitan dalam parti, tidak ada sebarang petunjuk yang menunjukkan mereka terbabit kegiatan bertentangan pendirian parti yang mempromosikan kesederhanaan, menolak keganasan dan mencari penyelesaian secara aman.

Selain itu, Guan Eng juga telah mengarahkan DAP menyediakan pasukan undang-undang diketuai Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bagi mewakili dua ADUN tersebut. –MalaysiaGazette

 

Saya tidak ‘main tangkap’ orang suka hati – Abdul Hamid

Penahanan 2 wakil rakyat DAP tak masuk akal, PH sepatutnya hapuskan SOSMA