Home Utama Semakin kurang anggota polis lelaki ‘mengandung’ sekarang – IGP

Semakin kurang anggota polis lelaki ‘mengandung’ sekarang – IGP

Reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) ketika pertandingan gusti tangan sebagai gimik Pelancaran Bulan Sukan Negara PDRM 2019 di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Dalam nada bergurau tetapi tegas, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador melahirkan rasa lega apabila perut kebanyakan anggota serta pegawai polis semakin kurang ‘buncit’.

Sejak kebelakangan ini, katanya, lebih ramai anggota dan pegawai polis tampil menangani isu kegemukan melalui inisiatif sendiri termasuk melakukan senaman serta mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang betul.

“Saya lihat semakin kurang anggota serta pegawai lelaki ‘mengandung’ pada masa kini. Masing-masing sudah ada inisiatif sendiri menguruskan badan ketika ini. Ramai sudah tidak mengandung lagi.

“Selain daripada itu, setiap minggu kita sendiri (PDRM) akan mengadakan program dalam pelbagai aktiviti sukan dan senaman yang mendapat tempat dalam kalangan anggota kita, juga penjawat awam. Saya rasa ini adalah sesuatu yang positif dan saya sentiasa menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebentar tadi selepas melancarkan ‘Bulan Sukan Negara Peringkat Polis DiRaja Malaysia 2019’ di Dataran Kompleks Cawangan Khas, Bukit Aman.

Sambutan Bulan Sukan Negara PDRM kali ini cukup  meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk larian 5.4 kilometer, acara berbasikal, petanque, futsal lelaki dan wanita serta sepak raga ratus.

Ketika memberikan ucapan di hadapan kira-kira lebih 700 anggota polis ketika majlis pelancaran, Abdul Hamid turut menasihatkan mereka untuk terus mengekalkan gaya hidup sihat kerana tugas polis cukup mencabar serta menuntut warganya memiliki tubuh badan baik.

“Kerja kita cukup mencabar dan sentiasa memerlukan badan dan minda cukup sihat, cerdas dan cergas. Amalan gaya hidup sihat ini amat penting dan menjadi keperluan.

“Bagi mengimbangi keperluan melahirkan warga kerja yang sihat agar selari dengan usaha memperkasakan kemampuan PDRM di persada sukan, Majlis Sukan PDRM ditubuhkan bagi mengendalikan hal-hal berkaitan pengurusan dan pembangunan sukan.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan komitmen bersama, kita berjaya lahirkan jaguh-jaguh sukan hebat dan disegani dalam peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya. –MalaysiaGazette