Home Dunia KFC keluarkan koleksi pakaian santai sempena ulangtahun

KFC keluarkan koleksi pakaian santai sempena ulangtahun

JAKARTA-Rangkaian restoran makanan segera, KFC Indonesia meraikan ulangtahun ke-40nya dengan mengeluarkan koleksi kasut sneaker dan pakaian santai hasil kolaborasi dengan empat jenama tempatan, Never Too Lavish; Argyle & Oxford; Evil Fact dan Sandalboyz.

Pengurus Besar PT Fast Food Indonesia Tbk, Hendra Yuniarto dalam satu kenyataan berkata, Never Too Lavish yang terkenal dengan sneaker-sneaker lukisan tangan akan mereka beberapa pasang kasut untuk dilelong di akaun Instagramnya bermula Jumaat, 11 Oktober lalu.

Sementara itu, jenama Argyle & Oxford pula menjadikan pengasas KFC, Kolonel Sanders dan resepi rahsianya sebagai inspirasi untuk menghasilkan baju sejuk, kemeja T dan stoking.

“KFC memilih untuk bekerjasama dengan mereka kerana pereka-pereka ini mewakili golongan muda Indonesia yang mempunyai keberanian untuk mereka sesuatu yang berbeza walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” kata Hendra.

Jenama Evil Fact pula menggunakan logo ikonik Kolonel Sanders untuk kemeja-kemeja, jaket dan beg sandang keluarannya.

Mereka turut menggunakan warna korporat KFC iaitu merah dan putih serta slogan iklan “sehingga menjilat jari.”

Bagi jenama sandal berpangkalan di Amerika Syarikat tetapi diasaskan oleh seorang pemuda Indonesia, Sandalboyz, menjadikan timba KFC sebagai inspirasi bagi menyampaikan mesej mengenai kebersamaan keluarga dan masyarakat yang juga merupakan DNA kepada syarikat ayam goreng terkenal dunia itu.

“Hasil yang diperolehi daripada lelongan dan jualan tersebut akan didermakan kepada Divers Clean Action,” kata Hendra sambil menambah pergerakan tersebut mensasarkan untuk mendidik orang ramai mengenai pemeliharan alam sekitar di beberapa kawasan pantai.- MalaysiaGazette