LONDON – Gara-gara aksi luar biasa di benteng pertahanan sejak beberapa bulan dari Ogos lalu, Manchester City menyatakan kesediaannya membalas sumbangan cemerlang Fernandinho dengan ganjaran berbentuk kontrak untuk setahun lagi di Stadium Etihad.
Aksi luar biasa yang dipamerkan bintang Brazil dengan beralih dari tugas sebagai perancang tengah pasukan dengan mengisi ruang bek pertahanan yang ditinggalkan Vincent Kompany meyakinkan kelab untuk memperbaharui kontrak pemain tersebut.
Kontrak Fernandinho akan tamat akhir musim ini pada Jun depan.
Bagaimanapun para penyokong kelab itu bimbang pemain itu akan mengikut jejak langkah David Silva untuk meninggalkan Manchester.
Bagaimanapun sebagai khabar gembira untuk penyokong the Citizens di serata dunia, pengurusan tertinggi kelab itu merancang untuk duduk berunding mengenai terma baharu Fernandinho selepas Krismas ini untuk memastikan dia kekal untuk semusim lagi.
Pep Guardiola juga dikatakan berpuas hati dengan aksi Fernandinho di sudut pertahanan sejak Kompany berhijrah ke Anderlecht sebagai pengurus kelab Belgium itu.
Fernandinho diarahkan tugas baharu beralih ke bek pertahanan peringkat awal musim ini berikutan masalah lutut jangka panjang Aymeric Laporte dan John Stones yang masih belum selesai.
Selepas enam musim bersama Manchester City, Fernandinho muncul sebagai figura yang menjadi tumpuan ramai.
Namun dikhabarkan pemain itu berkemungkinan akan menerima sedikit potongan dalam gaji mingguan sedia ada berjumlah £120,000 pound.- MalaysiaGazette