SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan telah menahan reman tiga individu termasuk dua pegawai Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membantu siasatan penyelewengan dana Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, tiga individu terbabit disyaki sebagai suspek utama dalam penyalahgunaan dana LZS yang bernilai berpuluh ribu ringgit.
“Sememangnya di peringkat SPRM Selangor telah membuat tangkapan dan reman terhadap tiga orang yang terlibat termasuk dua pegawai daripada RTM.
“Ini adalah melibatkan isu penggunaan wang Lembaga Zakat Selangor.
“Jumlah (akan dipanggil) kita masih dalam siasatan tapi berpuluh ribu nilai dana,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melawat Tapak Pasar Mega Seksyen 13 di sini sempena Ulangtahun SPRM Selangor ke-52 dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Latheefa juga berkata, penahanan reman dua pegawai stesen penyiaran itu bagi tempoh lima hari telah dibuat sejak seminggu lalu.
“Kami dapat reman lanjutan lima hari bermula sejak seminggu lepas,” katanya.
Katanya lagi, sehingga kini SPRM telah memanggil 11 saksi bagi membantu siasatan kes yang melibatkan dana umat Islam itu
“Sudah 11 orang saksi yang telah disoal termasuk tiga orang dikatakan suspek,” katanya.
Belia turut menjangkakan siasatan kes itu akan diselesaikan selewat-lewatnya minggu depan.
“Diharap siasatan akan selesai dalam seminggu dua ini dan kami akan maklumkan hasilnya jika ada pendakwaan.
“Kami akan hantar kertas siasatan kepada pihak pendakwa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette