Home Nasional Tuntut kesal Anwar enggan terima memorandum subsidi minyak

Tuntut kesal Anwar enggan terima memorandum subsidi minyak

A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, A'zlan Abu Bakar dihalang anggota polis ketika cuba memasuki Parlimen semasa mengadakan Demonstrasi Tuntut Kembalikan Subsidi Petrol sempena pembentangan Belanjawan 2019 di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) melahirkan rasa kesal susulan keengganan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui serta menerima memorandum mendesak subsidi petrol dikembalikan kepada rakyat.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, lebih malang apabila kehadiran mereka secara aman dilayan dengan tidak wajar oleh pihak polis termasuk dikasari dengan perisai dan cota milik Unit Tempur Ringan (LSF).

“Kami mengambil keputusan untuk masuk sendiri bagi membuat penyerahan dokumen selepas Datuk Seri Anwar (Ibrahim) tidak muncul hampir 10 minit seperti mana yang dijanjikan.

“Namun demikian, berlaku pergelutan antara kami dan pihak polis. Sekelip mata, kami dirempuh oleh pasukan polis. Mereka menghalang kami daripada masuk.

“Apakah salah kami dilayan sebegini rupa? Selepas bertempur, ada antara kami yang terjatuh, dan akhirnya selepas pergelutan ini barulah wakil kami dibenarkan masuk untuk berjumpa dengan Datuk Seri Anwar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, himpunan ‘Tuntut Kembalikan Subsidi Petrol Rakyat’ di luar bangunan Parlimen bertukar menjadi kecoh apabila sekumpulan peserta demostrasi itu bertindak nekad melalui halangan polis di pintu pagar Parlimen.

Belum pun peserta himpunan menghampiri pagar Parlimen, sekumpulan mahasiswa yang melakukan protes kenaikan yuran pengajian di tempat sama meluru dan cuba merempuh halangan polis.

Dalam pada itu, A’zlan juga berasa kesal apabila Anwar enggan meluangkan sedikit masa menemui mereka meskipun Presiden PKR itu berada dalam Dewan Rakyat bagi mengambil bahagian dalam pembentangan Belanjawan 2020.

“Tetapi keadaannya tetap hampa dan malang sekali. Kami kesal kerana ternyata hero rakyat (Anwar) ini tidak mahu berjumpa kami.

“Memandangkan Anwar tidak mahu meminjamkan lima minit yang beliau ada untuk mendengar keluhan rakyat ini, tidak apa, tidak mengapa. Kami Tuntut bukanlah peminta sedekah.

“Kami hanya perjuangkan suara rakyat. Kerajaan tolonglah jangan bertindak zalim kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sape suruh wakil rakyat yg ckp depan lain blkg lain. Semua pemimpin nak undi cari rakyat. Dah menang rakyat pun x nak jumpa.

Comments are closed.