Home Nasional Aduan rasuah melibatkan hakim ‘ganggu fikiran’ saya – Latheefa

Aduan rasuah melibatkan hakim ‘ganggu fikiran’ saya – Latheefa

Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Sejak Januari sehingga Ogos tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kira-kira 20 aduan membabitkan hakim mahkamah berhubung rasuah dan salahguna kuasa.

Sambil menyifatkan betapa angka itu sangat ‘mengganggu fikiran’, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mendedahkan, aduan-aduan itu membabitkan hakim dan para pegawai mahkamah sesyen dan majistret setakat ini.

Malah dedahnya, ada beberapa aduan terpalit terhadap hakim dan pegawai mahkamah yang sama dan ketika beliau tidak dapat memberikan sebarang butiran secara terperinci.

“Sebenarnya 20 aduan ini sangat membimbangkan tetapi ketika saya belum dapat berikan anda semua butiran, saya hanya boleh sahkan kita memang ada menerima pelbagai aduan.

“Bila kita sudah bersedia untuk buat reman, buka kertas siasatan lakukan pendakwaan, saya akan berikan butiran lengkap.

“Kita juga belum buka kertas siasatan atau memanggil individu-individu terbabit sebaliknya masih lagi dalam peringkat meneliti lagi.

“Ada juga pihak yang kalah dalam perbicaraan kes dan terus membuat aduan mendakwa hakim itu berat sebelah, semua ini kita perlu buat penelitian, sekiranya ada yang boleh didakwa atau direman, kita maklumkan.

“Saya cuma berharap kita dapat kurangkan jumlah ini pada tahun-tahun akan datang sekaligus badan kehakiman bebas rasuah” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Integriti yang turut dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat di lobi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta hari ini.

Ketika ditanya seandainya angka itu termasuk seorang hakim yang ditahan seorang hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu Julai lepas berhubung rasuah bagi melepaskan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan, Latheefa enggan mengulas.

Selain daripada hakim itu, seorang peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP) serta beberapa anggota polis juga turut ditahan dalam kes tersebut.

“Saya tidak boleh beri apa-apa butiran ketika ini. Maaf,” ujarnya. –MalaysiaGazette