Home Nasional Bakal pemimpin Malaysia mesti ikhlas

Bakal pemimpin Malaysia mesti ikhlas

Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada nilai budaya dan pegangan hidup rakyatnya.

Beliau yang berpengalaman menjelajah di seluruh dunia berkata, di dunia ini ada negara maju,  tidak maju dan ada negara yang kaya dengan sumber alam tetapi tidak maju.

Jelasnya, jika sesebuah negara mempunyai pemimpin dan rakyat yang amanah, bertanggungjawab dan memiliki sifat malu maka negara itu akan berjaya.

“Tetapi kalau duduk di dalam lombong emas pun tetapi tidak buat apa-apa, negara dan rakyat akan gagal. Ada negara yang memiliki sumber alam seperti minyak tetapi tidak mahu mengusahakannya, jadi negaranya gagal.

“Ini kerana nilai budaya sesuatu kaum dan bangsa sebenarnya yang menentukan kejayaan memandangkan kebolehan setiap orang adalah sama,” katanya dalam temubual bersama Hot FM.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kriteria yang perlu ada bagi menjadi pemimpin Malaysia, Dr Mahathir berkata, paling penting individu tersebut mestilah seseorang yang memiliki sifat ikhlas.

“Keikhlasan itu penting,” katanya sambil menambah pemimpin berkenaan juga perlu memberi tumpuan penuh terhadap kerja sebagai dan bukan diri sendiri.

Bakal pemimpin Malaysia juga, tambah beliau, perlu memiliki sikap rajin lebih daripada mereka yang dipimpin serta berkebolehan menyelesaikan masalah.

Dr Mahathir ketika ditanya mengenai pemimpin dunia yang rapat dengannya, jawab beliau, Nelson Mandela.

Bagaimanapun, selepas kematian Mandela pada 5 Disember 2013, tiada lagi pemimpin dunia yang rapat dengannya.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, tidak banyak pemimpin dunia yang boleh dijadikan model kepada Malaysia.

“Tak banyak pemimpin dunia jadi model kepada kita, lagak mereka tak kena,” jawab Dr Mahathir. – MalaysiaGazette