Home Pendapat Belanjawan 2020: Jangan ada pembaziran – AWER

Belanjawan 2020: Jangan ada pembaziran – AWER

SELEPAS mengkaji belanjawan terperinci bagi tahun 2020, Rancangan Malaysia ke-11 serta kajian dan laporan lain yang berkaitan dengan Air, Tenaga dan Alam Sekitar, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin memberikan komen berikut untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan:

  • Pembinaan Loji-loji Janakuasa Baru

Pengumuman bahawa kerajaan akan menghentikan kaedah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan berpindah ke “pasaran terbuka” adalah samar-samar dan tidak dapat dilaksanakan untuk negara dengan saiz ekonomi seperti kita. Sebenarnya, rundingan terus yang menyebabkan kos elektrik meningkat. Baru-baru ini, kerajaan meluluskan satu lagi rundingan terus kepada Tadmax pada kapasiti 1000MW – 1200MW. Ini boleh mengakibatkan anggaran kos tambahan melebihi RM 4 bilion kepada tarif elektrik.

Model yang baik untuk membina loji janakuasa baru adalah melalui pembidaan kompetitif dengan PPA dan ganjaran kecekapan Ganjaran kecekapan adalah untuk membantu loji janakuasa untuk meningkatkan kecekapan penjanaan dalam tempoh PPA untuk memastikan penggunaan bahan api yang lebih rendah dalam penjanaan kuasa bagi output elektrik yang lebih banyak, sekali gus mengurangkan kesan kos bahan api kepada tarif elektrik.

  •  Kontrak Prestasi Tenaga 

Kami menggalakkan syarikat-syarikat EPC memasarkan EPC ke sektor swasta sekiranya model mereka sangat baik. Kewujudan Suruhanjaya Tenaga, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan para jurutera di agensi-agensi kerajaan perlu mengoptimumkan untuk menjalankan audit tenaga tanpa kos tambahan kepada kerajaan. Audit tenaga mesti mengenalpasti Inisiatif Tanpa Pelaburan, Inisiatif Pelaburan Rendah dan Inisiatif Pelaburan Tinggi.

Inisiatif ini akan berbeza-beza dengan peratusan penjimatan melalui langkah-langkah Kecekapan Tenaga di setiap bangunan kerajaan. Selain itu, sebaik sahaja kerajaan memberikan kontrak EPC, syarikat-syarikat EPC ini akan menggunakan kontrak ini untuk mendapatkan pembiayaan untuk projek.

Sekali lagi, kos kewangan termasuk kadar faedah dan margin keuntungan akhirnya akan dibayar melalui wang pembayar cukai. Akhirnya, EPC akan menyebabkan kos yang lebih tinggi kepada kerajaan.

Jumlah penjimatan kos bangunan kerajaan selaras dengan umur bangunan, peralatan dan kemudahan yang dipakai. Kedua, kerajaan mesti mengklasifikasikan semua bangunan kerajaan kepada kritikal, sub kritikal dan tidak kritikal untuk mencapai penjimatan kos dalam bil elektrik. Ini perlu dilakukan dengan dua parameter. Parameter pertama adalah peratusan penjimatan dan yang kedua adalah anggaran jumlah penjimatan. Berdasarkan kedua-dua parameter ini, kerajaan boleh melabur secara terpilih untuk menangani bangunan kritikal yang diikuti oleh sub kritikal dan tidak kritikal. Tambahan pula, beberapa EPC di hospital telah gagal. Kenapa tidak ada yang belajar daripada kesilapan?

  •   Biodiesel – Campuran B20

Isu-isu teknikal masih tidak terjawab. Harus ada jaminan dari pengeluar enjin dan kenderaan mengenai penggunaan biodiesel bahawa ia tidak akan memberikan masalah kepada enjin dalam jangka panjang. Sekiranya masalah berkaitan enjin muncul selepas penggunaan jangka panjang, siapa yang bertanggungjawab untuk membaiki ataupun kemalangan jalan raya? Meningkatkan campuran biofuel minyak kelapa sawit ke diesel perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya ia tidak menjejaskan keseimbangan penggunaan minyak kelapa sawit untuk tujuan makanan. Malaysia tidak boleh mengalami krisis makanan atau bahan api kerana ahli perniagaan memberi tumpuan kepada keuntungan.

  • Bekalan Air dan Elektrik Luar Bandar serta Projek Bekalan Air FELDA

 Adalah penting bagi kita untuk memastikan bekalan air dan elektrik mencapai kepada semua rakyat. Ia juga sama penting untuk memastikan projek-projek ini dikawal selia dengan betul. Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji mekanisme untuk menggunakan operator air sedia ada dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk melaksanakan projek berkaitan air dan syarikat-syarikat elektrik untuk projek-projek elektrik luar bandar.

Ini akan membolehkan pengawal selia seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Suruhanjaya Tenaga  mengawal selia projek-projek ini bagi memastikan ia mengikut piawaian industri. Terdapat kes di mana operator terpaksa mengambil alih projek yang tidak menepati piawaian yang ditetapkan dan ini adalah kerana projek-projek ini sedang dilaksanakan melalui kementerian atau agensi tanpa kepakaran sedemikian. Projek-projek berkaitan air sepatutnya di bawah kementerian yang bertanggungjawab terhadap air dan ini sama juga bagi projek berkaitan elektrik.

  •  Projek River of Life

AWER tidak pernah percaya bahawa projek ini akan dapat menghidupkan semula Sungai Klang bagi membolehkan keluarga para menteri bermandi-manda di sungai ini pada akhir tempoh projek. Input pencemaran cecair tidak dapat diselesaikan sepenuhnya sehingga kini.

AWER menggesa jawatankuasa teknikal bebas ditubuhkan untuk menilai kadar kejayaan projek ini dan menyiasat bagaimana PEMANDU telah menilai projek ini. Tumpuan penilaian harus dilakukan pada output kualiti air sungai.

Hanya selepas penilaian selesai, Kementerian Kewangan boleh menilai kebarangkalian meneruskan projek ini dan melepaskan peruntukan sebanyak RM 605 juta lagi.

  • Tutup Agensi-agensi Yang Bertindih Tugas

Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan Indah Water Konsortium. Jabatan Bekalan Air (JBA) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan operator air. Kedua-dua JBA dan JPP mesti ditutup dan kakitangannya boleh diserap ke SPAN, PAAB, Indah Water Konsortium, operator air atau kekosongan kerajaan lain.

Bagi sektor tenaga dan teknologi hijau, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Yayasan Hijau mesti ditutup. Fungsi SEDA boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga. Sementara itu, fungsi Yayasan Hijau boleh dilakukan oleh GreenTech Corporation Malaysia.

Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya membazirkan wang pembayar cukai ke atas agensi yang bertindih tugas.

Selepas mengkaji belanjawan terperinci bagi tahun 2020, Rancangan Malaysia ke-11 serta kajian dan laporan lain yang berkaitan dengan Air, Tenaga dan Alam Sekitar, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin memberikan komen berikut untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan:

  • IWK Perlu Distuktur Semula Di Bawah WSIA

IWK sepatutnya dipecahkan kepada entiti berasaskan negeri dan digabungkan dengan operator air menjelang akhir tahun 2015. Ini adalah untuk melengkapkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara di Semenanjung Malaysia dan Labuan. Malangnya, sehingga kini IWK menentang langkah ini dan menunda penstrukturan semula keseluruhannya.

Pada masa ini, terdapat ahli lembaga pengarah IWK yang juga dilantik sebagai pesuruhjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). SPAN adalah pengawal selia untuk IWK dan langkah untuk meletakkan pihak berkepentingan di dalam SPAN akan menjejaskan kebebasan SPAN. Di samping itu, seorang pegawai kanan untuk sektor perkhidmatan air dari Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) juga duduk di lembaga pengarah IWK. KATS bertanggungjawab terhadap dasar yang berkaitan dengan perkhidmatan air (perawatan air, bekalan air dan pembetungan). Oleh itu, meletakkan pegawai ini di dalam lembaga pengarah IWK juga tidak betul.

Terdapat juga maklumat di mana KATS kini cuba melanjutkan perjanjian konsesi untuk IWK melalui kertas kabinet. Langkah sedemikian akan bertentangan dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA). Bolehkah kita mengandaikan bahawa terdapat penyalahgunaan kuasa secara terang-benderang untuk memastikan IWK mendapat konsesinya? Kami menggesa kementerian yang berkaitan untuk membetulkan isu-isu konflik kepentingan serta menstruktur semula IWK dengan segera. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Piarapakaran S., Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)