Home Ekonomi Isu Forest City tidak sama dengan penurunan nilai ambang hartanah

Isu Forest City tidak sama dengan penurunan nilai ambang hartanah

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kanan) diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) melawat pameran peralatan perubatan pada Ekspo Peralatan Perubatan Malaysia 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Penurunan nilai ambang bagi kediaman berharga RM600,000 ke atas untuk pemilikan warga asing berbeza keadaannya dengan projek Forest City di Johor.

Projek tersebut sangat mewah dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat tempatan.

Sedangkan, hartanah berharga RM600,000 ini masih boleh dibeli oleh rakyat tempatan tetapi tidak ramai yang membelinya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, disebabkan faktor itu, kerajaan terpaksa menjualnya kerana tidak mahu ia mendatangkan masalah kepada maju.

“Saya sebelum ini kritikal terhadap (penjualan hartanah kepada warga asing) kerana pemaju di Johor (Forest City)  yang mana hartanah mewah hanya dibangunkan untuk warga asing.

“Tapi ini (rumah yang diturunkan dari RM1 juta ke RM600,000) bukan untuk orang asing beli (pada mulanya),” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia (MYMEDEX) 2019 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Penurunan nilai ambang itu juga, katanya, sebagai langkah mengelakkan berlakunya krisis ekonomi dan dalam masa yang sama memastikan pasaran hartanah berkembang.

“Anda tahu lambakan rumah tak terjual akan menyebabkan krisis nasional yang pernah terjadi di Hong Kong, di Tokyo sebab pembangunan yang terlebih .

“Jadi kita nak habiskan lambakan rumah supaya pasaran hartanah kembali sihat,” ujarnya.

Belanjawan 2020 mencadangkan penurunan had ambang harga hartanah daripada RM1 juta kepada RM600,000 bagi pemilikan asing di bandar utama berikutan berlaku lambakan kondominium dan pangsapuri bernilai RM8.3 bilion ketika ini.

Bagaimanapun, pelbagai pihak meminta kerajaan mengkaji semula cadangan itu kerana bimbang pemaju akan membina lebih banyak rumah jenis itu dan menjualnya kepada rakyat asing.-MalaysiaGazette