KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penahanan 12 individu termasuk dua pemimpin DAP yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) kerana perkara itu sememangnya berlaku.
“Tapi hakikatnya ialah benda ini berlaku dan ada sebab ianya berlaku,” kata Perdana Menteri dalam sidang media selepas merasmikan Malaysia International Medical Device Conference & Malaysia Medical Expo 2019 di sini, hari ini.
Dr Mahathir ditanya mengenai kenyataannya semalam yang mempertahankan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di sebalik gesaan beberapa pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang dan P. Ramasamy supaya akta tersebut dimansuhkan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, keadaan sekarang berbeza dan SOSMA digunapakai bukan untuk menangkap orang sewenang-wenangnya.
“Ini ada sebab, saya dapat penjelasan daripada polis tentang sebab-sebab mereka mengambil tindakan. Dan saya berpuas hati dengan sebab-sebab itu.
“Kalau Ramasamy tak puas hati tak apalah, dia kata dia tak puas hati,” katanya.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang semalam berpandangan tangkapan individu yang dikaitkan dengan gerakan LTTE itu sepatutnya boleh dibuat mengikut Kanun Keseksaan.
Tambah Ramasamy, Dr Mahathir sendiri pernah mengkritik SOSMA kerana membolehkan suspek ditahan tanpa bicara selama 28 hari. – MalaysiaGazette