Home Politik Md Alwi letak jawatan Ketua Pembangkang DUN Kelantan

Md Alwi letak jawatan Ketua Pembangkang DUN Kelantan

UMNO
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad pada sidang media pada Persidangan Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 SEPTEMBER 2018

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Md Alwi ketika membahaskan Belanjawan Kelantan 2020 yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

“Perkara pertama yang perlu saya sebut di sini ialah biasanya saya dikenali sebagai ketua pembangkang dalam dewan ini untuk beberapa sesi yang lepas. Dewan Undangan Negeri ini terdiri daripada 45 orang ADUN termasuk pembangkang dari BN seramai tujuh orang dan PH (1).

“Tetapi ingin saya sampaikan untuk masuk dalam hansard, mulai hari ini selepas Muafakat Nasional, sebenarnya Kelantan sudah tidak ada ketua pembangkang kerana saya meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang dan kami semua (wakil rakyat Barisan Nasional) adalah penyokong kerajaan (negeri),” katanya.

Beliau berkata keputusan itu diambil hasil keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Biro Politik UMNO dan Muafakat Nasional yang terjalin antara UMNO dan PAS 14 Sept lepas.

“Yang tinggal hanyalah seorang pembangkang tunggal tegar (Datuk Seri Mustapa Mohamed/PH-Ayer Lanas). Dia tak ada jemaah jadi dia pembangkang tunggal.

“Terpulanglah kepada Datuk Speaker (Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub) untuk susun semula kedudukan dalam dewan ini,” katanya.

Md Alwi turut merafak sembah merakamkan rasa sedih dan dukacita di atas kemangkatan Sultan Ismail Petra pada 28 Sept lepas.

“Izinkanlah saya bagi pihak diri dan rakyat untuk menyatakan rasa sedih dan dukacita di atas kemangkatan Sultan Ismail Petra. Semoga Allah SWT merahmati baginda,” katanya.-BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.