Home Pendapat Mengapa perkauman semakin menebal?

Mengapa perkauman semakin menebal?

Sebahagian peserta memegang spanduk pada perhimpunan 'Kesyukuran' meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2018

KEBELAKANGAN ini amat ketara ketebalan sentimen perkauman sesama rakyat Malaysia dan lebih parah lagi ianya dimainkan oleh parti-parti politik dan NGO-NGO yang berteraskan bangsa baik Melayu, Cina, India mahupun negeri seperti Sabah dan Sarawak.

Terdapat tokoh-tokoh yang amat jelas pendirian mereka dan dengan berani telah bersuara, baik menyokong bangsanya ataupun memilih untuk bersifat lebih pragmatik.

Tidak kurang juga terdapat pemimpin parti politik dan tokoh yang memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu terkait dalam polemik berasaskan kaum ini. Mungkin bagi mereka ter;alu berisiko buat karier politik mereka untuk turut serta.

Apapun, adalah sesuatu yang mendukacitakan buat seluruh rakyat Malaysia apabila keresahan berasaskan sentimen perkauman ini terus berlaku dan kebelakangan ini makin meruncing dan bagaikan ‘tiada kesudahan’.

Tangkapan demi tangkapan atau siasatan demi siasatan oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang mencetuskan keresahan bukanlah penyelesaian kepada permasalahan yang semakin menyesakkan dada banyak pihak.

Punca utamanya telah diketahui umum iaitu kurangnya kefahaman, kebersamaan dan sifat kekitaan sesama rakyat berbilang kaum di negara ini. Pastinya permasalahan ini perlu diperbaiki segera.

Apa yang berlaku hari ini, pemimpin bangsa Melayu bercakap dengan penuh semangat akan hak, nasib dan kelangsungan bangsa Melayu.

Begitu juga pemimpin bangsa Cina, India, Sabah dan Sarawak di mana semua mereka bercakap akan hak dan kelangsungan bangsa masing-masing.

Kepada yang bercakap bagi pihak semua masih ‘terbelenggu’ dengan ‘komitmen’ merealisasikan aspirasi kelompok majoriti yang mendukungnya.

Benar bahawa ada kebimbangan yang ‘disorokkan’ sejak lebih 60 tahun dahulu dan boleh ‘dikawal’, kini bagai tidak boleh lagi.

Dengan kata lain, ia harus ditangani dengan matang dan bijaksana oleh kerajaan, pemimpin-pemimpin parti politik dan masyarakat.

Pada asasnya, benar dan tidak salah untuk membawa dan memperjuangkan hak bangsa masing-masing tetapi adakah cara yang digunakan oleh mereka yang bergelar pemimpin satu-satu bangsa itu baik dan betul iaitu dalam konteks negara sperti hari ini yang mana berada di era maklumat di hujung jari?

Pastinya amat membimbangkan apabila rakyat dirangsang pemikiran dan mungkin tindakan berorientasikan faktor ‘survival’ bangsa masing-masing semata-mata.

Negara boleh menilai hasil dari pendekatan berasaskan bangsa tertentu menguasai sektor tertentu iaitu berasaskan pengalaman selama 62 tahun kemerdekaan negara.

Sebagai contoh di mana, orang Melayu menguasai sektor kerajaan, orang Cina sektor perniagaan, dan orang India di sektor perladangan selaku buruh.

Model pembangunan sosio ekonomi negara berteraskan kaum tertentu menguasai sektor tertentu inilah yang telah membuatkan negara ‘dihimpit’ satu perasaan prasangka yang amat serius apabila satu-satu bangsa itu bergerak ke teritori di luar dari kebiasaannya.

Contohnya, orang Melayu berasa ‘amat tidak selesa’ apabila orang Cina memasuki sektor awam apatah lagi di angkat menjadi ketua di agensi-agensi kerajaan dan juga GLCs.

Manakala orang Cina pula berasa ‘amat tidak selesa’ apabila semakin ramai orang Melayu mula aktif di sektor perniagaan.

Dengan kata lain, pertembungan dua bangsa utama negara ini jika tidak diurus dengan baik boleh mendatangkan malapetaka.

Bila perasaan tidak selesa ini tidak diselesaikan dengan baik dan matang, maka ia akan sentiasa menjadi asas kepada penyuburan perasaan benci, marah dan dendam di antara satu sama lain.

Persoalannya adakah model pembangunan dan kesejahteraan kaum seperti itu mampu bertahan dan membawa Malaysia merayakan hari kemerdekaanya yang ke 100 tahun pada 2057?

Besar kemungkinan adalah tidak kerana hari ini telah dapat dilihat dengan jelas akan rapuhnya kefahaman, kesatuan dan kekitaan dari perspektif kepelbagaian kaum itu dalam melihat diri mereka sebagai satu.

Untuk itu perlu ada satu usaha yang diketuai oleh kerajaan hari ini untuk membawa semua pemimpin utama parti-parti politik dan masyarakat termasuk dari Sabah dan Sarawak ke meja rundingan dan memperbetulkan segala kekusutan yang ada.

Di masa yang sama perlu diperbetulkan segera sistem pendidikan negara, kefahaman dan sensitiviti agama di antara satu sama lain, dan juga agihan ekonomi yang semakin melebar ketidakseimbangannya.

Telah tiba masanya model pendidikan negara yang lebih baik dibentuk iaitu berasaskan latar belakang Malaysia yang bermasyarakat majmuk dengan berpaksikan ketinggian nilai dan kecemerlangan akademik.

Segala sensitiviti, ketidakselesaan, dan ketidakadilan dari lensa satu-satu kaum itu perlu ditangani secara menyeluruh, matang dan berhemah.

Pendekatan mengelak dari membincangkannya perlu dihentikan dan keberanian mengambil keputusan tegas dan inklusif amat diperlukan.

Di samping itu apa yang termaktub dalam perlembagaan negara dan segala perjanjian dengan negeri-negeri harus dikupas, difahami dan dilaksakan tanpa faktor percaturan politik kepartian.

Setiap yang termaktub dalam Perlembagaan harus ditunaikan dengan penuh tanggungjawab. Tunaikan setiap yang berhak itu akan haknya.

Di masa yang sama parti-parti politik dan juga rakyat perlu diberi amaran keras dan tindakan tegas perlu diambil jika mereka masih bermain atau mempersenda satu sama lain atas isu-isu sensitif seperti kaum, agama, raja, dan adat budaya satu-satu kaum termasuk bukan orang asal serta perkara seperti kaum pendatang dan lain-lain lagi.

Adalah jelas bahawa amat sukar untuk membentuk Malaysia menjadi negara maju dan harmoni jika isu seperti bangsa, agama, pendidikan dan ekonomi terus menjadi asas perbezaan utama dan penentu kepada pembuatan keputusan.

Ini kerana yang terbaik dan berbakat dari kalangan orang Melayu tidak akan mendapat tempat penting contohnya dalam syarikat milik orang Cina dan begitu juga orang Cina di agensi kerajaan kerana dua sektor ini iaitu kerajaan dan swasta kekal dikuasai atas sentimen bangsa.

Manakala orang India, Sabah dan Sarawak pula akan berasa lebih perit lagi untuk berada di kedua-dua sektor kerana mereka dianggap sebagai kumpulan minoriti.

Dengan kata lain, negara akan terus kehilangan bakat kerana lensa pemilihan bukan berpaksikan kepada bakat dan kebolehan tetapi bangsa.

Untuk membolehkan bakat mengambil tempat menggantikan bangsa, ianya memerlukan keberanian, keikhlasan, kesanggupan untuk melepaskan sesuatu demi matlamat lebih besar iaitu mampu membawa keadilan buat seluruh rakyat negara ini.

Persoalannya sudahkah bersediakah pemimpin-pemimpin bangsa  kaum-kaum berkaitan ‘melepaskan’ sesuatu demi untuk membina Malaysia yang lebih aman, makmur dan maju?

Jika berhasrat, maka semua mereka iaitu bermula dari barisan kepimpinan kerajaan, parti politik, pendidikan, teknokrat, birokrat, perniagaan dan masyarakat perlu ke meja rundingan dan membina kesefahaman demi memastikan pembinaan model Malaysia baru dapat direalisasikan.

Selagi asas pembentukan negara bangsa masih bertunjangkan yang ‘kuat menindas yang lemah, syak wasangka, dan saling membenci berterusan, maka selagi itulah negara dan rakyat tidak akan dapat mencapai potensinya yang sebenar.

Akhir kata, usaha perlu digembeling ke arah membentuk Malaysia yang lebih harmoni di mana orang Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak tidak rasa terancam akan segala hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan juga perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini. Tunaikan hak mereka dengan adil, jujur dan bijaksana.

Jika ini dapat direalisasikan, maka akan terbitlah fajar baru buat Malaysia. – MalaysiaGazette