KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia sedang menjejaki pemilik akaun Twitter Naavin Pillai dengan bantuan polis antarabangsa (Interpol) kerana memuat naik ciapan menghina perdana menteri dan Ketua Polis Negara dengan menyamakan kedua dua pemimpin dengan anjing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah menyiasat ciapan yang dimuat naik pada pukul 11 malam 14 Oktober lalu hasil dua laporan dari bahagian jenayah siber dan multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Balai Polis Jalan Tun Razak petang semalam.
Katanya, hasil siasatan wujud unsur penghinaan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hamid Bador di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2012.
“Kenyataan itu berbunyi ‘#petsatwork Anjing/Dogs/and/bersama its master/Tuhan’ disertakan gambar Hamid Bador berdiri di sebelah Tun M.
“Kedua pada hari yang sama juga D5 menyiasat satu lagi posting daripada Naavin juga berunsur perkauman serta ganggu ketentertaan awam juga ditujukan kepada perdana menteri dana ketua polis negara, dimuat naik juga kenyataan berbunyi Please vote di Parliment to defund and reduce salary of PDRM; remind them who is the bos Mahathir or 50+PKR Mps!Misbehaving dogs need to be disciplined.
“Dia juga memuat naik satu lagi komen hasutan berniat jahat berbunyi ‘i call for new state for Indian in <Malaysia like Sabah dan Sarawak..free ourself from Malay Radikal,” katanya.
Menurut beliau, hasil siasatan atar belakang pemilik itu dengan kerjasama SKMM dan jabatan lain serta menerusi profil lengkap akaun twitter Naavin, suspek didapati berada di luar negara,” katanya dalam sidang media harian JSJ di Bukit Aman pagi ini.
Menurut Huzir, polis juga sudah meneliti latarbelakang keluarga dan akan mendapatkan bantuan polis antarabangsa Interpol untuk menjejaki suspek tersebut.
“Kita akan dapatkan bantuan Interpol di mana juga dia berada dan ambil tindakan. Naavin nama sebenarnya adalah Naavin Mohandas berusia 38 tahun dan didapati berada di luar negara sejak tahun 2007 lagi.
“Suspek tidak mempunyai latar belakang politik dan pekerjaannya adalah juruteknik yang berasal dari Lembah Klang, kita akan menghubungi keluarganya untuk melicinkan siasatan serta tangkapan Naavin nanti selain akan menyemak dengan Interpol untuk mengesan kedudukan semasa suspek.
‘Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik, atau menyebarkan kenyataan berbaur sensitif yang menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara yang telah terpelihara selama ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette