Home Nasional Jual IC: Pegawai JPN sudah dikenakan tindakan disiplin – Muhyiddin

Jual IC: Pegawai JPN sudah dikenakan tindakan disiplin – Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Sambutan Hari Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawainya yang terlibat dalam sindiket penjualan kad pengenalan Malaysia kepada warga asing.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjawat awam terbabit bukan sahaja dikenakan tindakan tatatertib bahkan isu tersebut telah dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Dalam tindakan, kita sudah ambil tindakan dislipin, laporan kepada polis pun kita sudah buat.

“Jadi pihak berkuasa bertanggungjawab itu boleh menyiasat. Setakat hari ini saya belum dapat statusnya,” katanya pada sidang media selepas Merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara di ibu pejabat JPN, di sini, hari ini.

Sebelum ini, seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di George Town pada 12 September lalu atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Ia susulan daripada pendedahan pihak polis pada 11 September lalu berhubung penahanan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Siasatan mendapati ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dan proses akan diuruskan oleh seorang individu di JPN Pulau Pinang selain dipercayai sindiket itu memperoleh bayaran antara RM100,000 sehingga RM600,000 daripada warga asing.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan penyalahgunaan kuasa hingga menjual sijil kewarganegaraan Malaysia itu merupakan sesuatu yang serius dan disifatkannya sebagai satu pengkhianatan.

“Tak boleh kita biarkan dengan sewenang-wenangnya berlaku oleh sesiapa, lebih-lebih lagi oleh pegawai dalam jabatan (JPN),” katanya lagi. – MalaysiaGazette