Home Utama Manisfesto PH tak sebut mansuh SOSMA – Muhyiddin

Manisfesto PH tak sebut mansuh SOSMA – Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama penerima Mykad memotong kek pada Sambutan Hari Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak tersenarai sebagai akta zalim dan undang-undang drakonian yang perlu dimansuhkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya menegaskan, manifesto parti pemerintah itu hanya akan mengkaji semula akta itu untuk penambahbaikan.

“Dalam manifesto PH tidak mengatakan bahawa SOSMA ini akan dihapuskan, sila semak.

“Jadi yang kita janjikan ialah untuk meneliti mana-mana bab atau fasal dalam SOSMA yang boleh kita perbaiki.

“Ada sesetengah dikatakan drakonian, tidak selaras dengan hak asasi manusia, zalim dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara di ibu pejabat JPN, di sini, pagi ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Alwi Ibrahim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semalam mengatakan bahawa SOSMA tidak perlu dimansuhkan sebaliknya perlu diperbaiki dan dikemaskini.

Menurut Mohamad, satu pindaan Akta itu perlu dibuat dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga sependapat dengan Mohamad bahawa SOSMA masih diperlukan susulan ketiadaan instrumen undang-undang yang berkesan bagi menangani keselamatan negara.

“Bagi kita SOSMA ini masih diperlukan kerana kalau kira lihat dengan keadaan perkembangan yang berlaku di peringkat negara dan antarabangsa, isu-isu pengganas dan isu counter terrorism, perkara ini memang wajar dan perlu.

“Kalau tak ada instrumen undang-undang sebegitu jadi mereka ini agak terlepas daripada cengkaman undang-undang dan ini akan menimbulkan bahaya kepada keselamatan negara.

“Kalau ikut undang-undang sedia ada tidak memadai sebab cara mereka bertindak ini di luar batas undang-undang dan boleh menimbulkan banyak masalah kepada negara,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, pihaknya sudah memulakan usaha untuk membuat penambahbaikan SOSMA termasuk perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sebelum ini.

“Kita telah mulakan sejak tahun ini dan kita telah bincang dengan banyak pihak untuk mendapatkan input dan maklum balas tentang apa perkara yang kita perlu pinda,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya juga telah membawa usul memindah dan penambahbaikan SOSMA ke peringkat Kabinet bagaimanapun ia masih perlu diperhalusi lagi.

“Sebab itu kita teruskan proses libat urus dengan pelbagai badan dan pertubuhan supaya akhirnya bila kita bawa ke Kabinet dan Parlimen banyak pihak akan berpuas hati.

“Ada beberapa fasal yang perlu kita teliti, soal mendapat akses kepada khidmat guaman, tempoh reman yang dikatakan 28 hari itu amat panjang, yang lain saya fikir tidaklah menjadi masalah.

“Mungkin tak sempat sesi Parlimen yang sedang berjalan ini, kita akan bawa pada penggal awal tahun 2020 Insya-Allah,” katanya lagi.

Beberapa pemimpin DAP termasuk Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, P. Ramasamy, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng antara yang mendesak kerajaan menghapuskan SOSMA. – MalaysiaGazette

Penahanan 2 wakil rakyat DAP tak masuk akal, PH sepatutnya hapuskan SOSMA

3 Komen

  1. BTUL…X3, apa sahaja undang2 utk mengekang keganasan adalah amat perlu utk menjaga keamanan negara. Yg penting jgn disalahgunakan.. diharapkan semua pihak & rakyat faham dgn permasaalahan ini..

Comments are closed.