KUALA LUMPUR- Peguam Negara diminta memberi penjelasan segera berhubung keputusannya menggugurkan kes penderaan seksual membabitkan seorang pelajar sekolah tahfiz di Perak.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suhakam, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, Peguam Negara juga perlu menjelaskan asas tindakan menggugurkan pertuduhan jenayah ke atas suspek yang menggunakan budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan menggariskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.
“Memandangkan kesalahan yang dituduh amat serius, Pesuruhjaya Kanak-Kanak percaya ibu kepada mangsa berhak sepenuhnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sekolah tahfiz tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Noor Aziah, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggariskan konsep maruah yang mana setiap kanak-kanak harus diiktiraf, dihormati dan dilindungi.
Tambahnya, kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seteruk itu harus mendapat keadilan sepenuhnya.
Noor Aziah juga meminta semua pihak termasuk media supaya melindungi identiti ibu mangsa bagi mengelakkan identiti sebenar mangsa tersebar. – MalaysiaGazette