Home Nasional Mayat lelaki ditemui terapung dengan kaki dan tangan terikat

Mayat lelaki ditemui terapung dengan kaki dan tangan terikat

Pemandu kereta yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan dua penunggang motosikal di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) semalam rupa-rupanya dalam keadaan mabuk.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Mayat seorang lelaki ditemui terapung di bahagian tepi Tasik Paya Bungor di km 50 Jalan Kuantan-Maran, di sini awal hari ini dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa ditemui orang awam yang melaporkan penemuan itu di Pondok Polis Paya Bungor pada kira-kira jam 9.55 pagi.

“Mangsa dipercayai berbangsa India dengan anggaran usia 39 tahun. Mayat lengkap berpakaian baju t-shirt berwarna merah dan seluar jeans hitam; manakala jarak tempat mayat terapung dengan jalan utama adalah kira-kira 10 meter,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan bedah siasat akan dilakukan pada esok pukul 2 petang di Unit Patalogi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA), di sini.

“Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan kes berkenaan,” katanya. – Bernama

+ posts