Home Nasional 1MDB: Shahrol dakwa ‘apa-apa’ bincang sahaja dengan Jho Low  

1MDB: Shahrol dakwa ‘apa-apa’ bincang sahaja dengan Jho Low  

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR – Ketika pemeriksaan balas kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebentar tadi,

 

KUALA LUMPUR – Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendakwa beliau seolah-olah terikat daripada mengambil tahu perihal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan lebih banyak.

Berikutan itu, pada tanggapan bekas Ketua Eksekutif 1MDB itu, adalah jauh lebih baik untuknya menjalankan tugas mengikut arahan yang telah diberikan, terutamanya daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada pendapat saksi kesembilan itu, Jho Low dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak saling mengetahui rancangan serta agenda yang melibatkan 1MDB.

Pada masa sama ketika disoal beberapa kali oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah seandainya beliau pernah cuba berinterkasi atau bercakap dengan Najib tentang transaksi mengenai 1MDB, Shahrol lebih gemar menggunakan nama Jho Low.

Hari ini, Shahrol ‘teringat’ tentang insiden yang mana beliau berpeluang berdiri sepentas dengan Najib dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pada program itu Shahrol bertanya kepada Najib tentang dana bernilai AS$1 bilion (RM4.1 bilion).

Menurut Shahrol, wang AS$1 bilion itu ‘tersangkut’ dan tidak dapat diambilkira susulan kegagalan perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi International.

Bagaimanapun ketika cuba bercakap dengan Najib bagaimana untuk mendapatkan wang tersebut, Sharol mendakwa Najib memberi jawapan ringkas, ‘bercakap sahaja tentang isu itu dengan Jho Low’.

Jawapan itu juga menyebabkan Shahrol sentiasa menganggap dirinya hanya perlu melakukan apa yang dipertanggungjawabkan sahaja dan tidak sesekali menjadi ‘busy body’.

Shafee: Ada pernah cuba bercakap dengan Najib tentang duit itu? Jumlah itu sangat besar sebenarnya.

Shahrol: Seingat saya, saya pernah cuba bercakap dengan beliau pada sebuah program CSR, saya rasa antara 2011 atau 2012. Saya bersama Datuk Najib ketika itu.

Saya ada bertanyakan kepada beliau jika boleh bercakap dengan PSI supaya kita boleh dapatkan wang itu kembali.

Tetapi Datuk Najib hanya meminta saya bercakap sahaja tentang itu dengan Jho Low.

Shafee: Pada masa itu, kamu percaya pada Jho Low?

Shahrol: Ya, saya percaya.

Shafee: Jika benarlah kata kamu sekalipun, Datuk Najib juga percaya Jho Low yang mainkan peranan ketika itu.

Shahrol: Ya, betul.

Shafee: Tidak ada sesiapa yang cuba halang kamu daripada cari kebenaran?

Shahrol: Tidak ada sesiapa yang halang.

Shafee: Tetapi kamu pilih untuk tidak terus cari kebenaran? Begitu?

Shahrol: Pada tanggapan saya, saya tidak begitu ‘digalakkan’ untuk mencari sebarang kebenaran.

Shafee: Kerana insiden itu (program CSR)?

Shahrol: Susah sebenarnya untuk cakap tentang ini. Sebenarnya sepanjang saya menjadi CEO sejak 2009 sehingga 2013, saya sentiasa ‘merasakan’ diri saya tidak begitu digalak menjadi ‘kaki sibuk’ (busy body).

Shafee: Sebagai CEO, anda tidak boleh langsung bertanyakan perihal 1MDB ke?

Shahrol: Saya tidak digalak untuk ‘melampaui’ dengan bercakap atau bertanya selain daripada apa yang telah diberikan kepada saya ‘talking points’ itu.

Shafee: Oh begitu. Baiklah.

Perbicaraan ditangguh lebih awal daripada biasa hari ini kerana Shafee perlu berjumpa dengan pakar matanya di Hospital Columbia.

Prosiding akan bersambung pada Khamis ini kerana esok dan lusa mahkamah memberikan laluan kepada hujah lisan pendakwaan dan pembelaan SRC International juga melibatkan Najib dengan dakwaan melakukan penywelengan dana sebanyak RM42 juta. –MalaysiaGazette