KUALA LUMPUR – Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat & Perumahan (REACH) mengingatkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke agar tidak mencampuri urusan kementerian lain.
Khususnya yang melibatkan aspek perumahan dan kerajaan tempatan, kata ketua penyelarasnya, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Menurutnya, Anthony tidak sewajarnya mencadangkan kelonggaran penyediaan tempat letak kereta kepada pemaju yang membina projek yang berhampiran dengan stesen transit.
“Agak aneh, cadangan pengurangan tempat letak kereta ini dibuat oleh Menteri Pengangkutan. Walhal sepatutnya bagi perkara yang merangkumi aspek-aspek perumahan dan perancangan bandar perlu dibuat oleh Menteri Perumahan.
“Tambahan pula kuasa untuk menetapkan peraturan bilangan tempat letak kereta adalah di bawah PBT seperti Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran dan bukan Kerajaan Persekutuan tetapi Menteri yang menjaga PBT adalah Menteri Perumahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu Kementerian Pengangkutan (MOT) mencadangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melonggarkan syarat wajib lot tempat letak kereta bagi projek perumahan dari jenis apartmen dan kondominium.
Menurut Anthony, pembinaan unit kondominium dan apartmen baharu tanpa lot tempat letak kereta itu juga akan membantu mengurangkan harga rumah.
Katanya, cadangan terbabit dilihat antara langkah tepat untuk mengurangkan harga hartanah seterusnya menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan memberi manfaat kepada pembeli rumah.
Iskandar selaku Bendahari Pas Pusat berkata, sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan, kerajaan perlu memastikan sistem pengangkutan awam benar-benar lengkap.
“Cadangan ini belum lagi boleh dilaksanakan jika rakyat masih terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk sampai ke sesuatu destinasi kerana sistem pengangkutan awam yang belum menyeluruh.
“Rakyat masih terpaksa bertukar LRT, MRT, KTM atau bas ke destinasi mereka. Perjalanan mengambil masa 3 hingga 4 kali ganda berbanding dengan menaiki kenderaan sendiri.
“Maka cadangan ini tidak seharusnya dilaksanakan sehingga sistem pengangkutan awam kita selesai dilengkapkan dan dipertingkatkan,” katanya.
Iskandar juga berkata, cadangan untuk memansuhkan sama sekali peruntukan tempat letak kereta untuk unit-unit kediaman yang dijual adalah tidak wajar.
“Peruntukan ini tidak wajar dimansuhkan kerana keperluan pembeli akan berubah dengan masa.
“Apa akan terjadi kepada mereka yang tidak mampu memiliki kereta ketika membeli kediaman tetapi mampu membelinya selepas beberapa tahun? Adakah mereka terpaksa mencari kediaman lain?” katanya.
Sebaliknya katanya, peruntukan letak kereta tambahan mungkin boleh dikurangkan tetapi mestilah tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat.
“Ini juga dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pemaju. Bagaimanapun kerajaan mesti memantau agar pemaju tidak memaksa pembeli membeli tempat letak kereta tambahan itu,” katanya.
Tambahnya, cadangan itu boleh memanfaatkan pembeli rumah jika pemaju telus dengan kos pembinaan sesuatu pembangunan.
“Tetapi kita bimbang pemaju tidak mendedahkan kos sebenar untuk menyediakan setiap unit tempat letak kereta itu.
“Hari ini terdapat pemaju yang melaporkan kos untuk satu tempat letak kereta adalah RM50,000. Walau bagaimanapun adakah pemaju akan membuat potongan RM50,000 kepada harga jualan rumah?” katanya lagi. – MalaysiaGazette