KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk mengharamkan komik Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama terbitan Kurator Muzium Kebudayaan dan Komik, Asia Hew Kuan Yau.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, apa sahaja keputusan kelak bergantung kepada hasil siasatan yang dilakukan pihak berkuasa.
“Saya masih tak tau keputusan tentang isu itu, dan DAP telah pun menafikan mereka terlibat.
“Kita tengok apa hasil siasatan, sebab dia (Kuan Yau) tak mengaku dia yang melakukan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Azis ditanya media mengenai komik berkenaan yang kini pengedarannya di sekolah dilarang Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Maszlee berkata, kementeriannya tidak pernah memberi kebenaran terhadap pengedarannya dan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran terhadap komik itu.
Dalam komik itu turut dipaparkan gambar Mahathir dengan Presiden China Xi Jinping bersama-sama komik itu, dengan keterangan ia hadiah kepada Xi sewaktu forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa ke-2.
Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri menafikan perkara itu dan berkata komik itu dibawa tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul. -MalaysiaGazette