Home Dunia Carrie Lam mohon maaf polis cemari masjid

Carrie Lam mohon maaf polis cemari masjid

Carrie Lam berjalan menuju ke Masjid Kowloon untuk meminta maaf terhadap insiden semburan air oleh polis semasa meleraikan tunjuk perasaan. foto Agensi

HONG KONG – Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam memohon maaf selepas polis melepaskan tembakan air di sebuah masjid besar ketika berdepan dengan penunjuk perasaan.

Lam melawat masjid itu sebelum ke Jepun bagi menghadiri majlis pemasyuran Maharaja Naruhito di Tokyo.

Dalam usaha menangani protes semalam, polis melepaskan tembakan air berwarna biru kepada orang ramai yang terlibat dalam demonstrasi anti-kerajaan.

Tembakan air itu dilepaskan di hadapan pintu pagar Masjid Kowloon.

Lam yang tiba di masjid itu bertemu dengan pemimpin Islam bagi menyampaikan permohonan maaf, menurut jurucakap.

Ketua Imam, Muhammad Arshad menerima permohonan maaf itu dan melahirkan harapan komuniti Islam supaya Hong Kong kembali tenang.

Polis Hong Kong dalam satu kenyataan berkata, tindakan melepaskan air itu adalah secara tidak disengajakan.

Para penunjuk perasaan telah bertindak merosakkan kedai-kedai dan membuat grafiti di jalan raya kerana tidak puas hati dengan polis.

Demonstrasi ganas semalam berlaku semula selepas dua minggu yang tenang, menggambarkan sokongan kuat terhadap pergerakan anti-kerajaan meskipun tindakan mereka sudah dikategorikan sebagai tidak sah oleh polis.

Sejak protes bermula pada Jun lalu, lebih 2,600 orang telah ditahan, kebanyakan berusia di bawah 18 tahun manakala dua tunjuk perasaan telah ditembak dan ramai lagi dilaporkan cedera.

Kebanyakan rakyat Hong Kong marah apabila China berhasrat untuk mengehadkan kebebasan wilayah itu yang sepatutnya menikmati prinsip ‘satu negara. dua sistem’ selepas bandar raya itu diserahkan Britain pada tahun 1997. – MalaysiaGazette