KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluas kegunaan kad subsidi petrol atau Kad95 untuk meliputi lebih banyak barang subsidi seperti tepung, minyak masak dan gas jika golongan M40 juga dibenarkan menyertai Program Subsidi Petrol (PSP)
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program subsidi bersasar adalah memastikan barangan subsidi tidak disalah guna termasuk diseludup untuk kegunaan orang asing.
“Kami justeru memerlukan satu mekanisme untuk mengendalikan subsidi secara jangka panjang.
“Kami kekurangan pengalaman dalam pelaksanaan subsidi bersasar, tetapi kami memang berharap supaya dapat mara ke depan dalam hal ini,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.
Saifuddin juga menjelaskan bahawa PSP untuk golongan B40 disalurkan secara terus kepada akaun penerima dan bukannya melalui kad kerana kajian akademik termasuk oleh Universiti Cambridge dan Oxford menunjukkan kaedah itu adalah paling berkesan.
“Kami justeru memilih kaedah ini sebagai permulaan, tetapi kami masih ada rancangan untuk memperluaskan penggunaan kad untuk mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi bersasar.
“Orang asing yang tidak mempunyai kad tidak akan dapat membeli berdasarkan harga subsidi,” katanya.
Tambahnya, banyak perkara masih perlu dibincangkan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama Kementerian Kewangan memandangkan dalam pembentangan Bajet 2020, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hanya mengumumkan bahawa pelaksanaan PSP untuk golongan M40 adalah melalui kad RON95.
“Kami perlu bermesyuarat untuk mengenal pasti cara pelaksanaan yang terbaik selain menjawab pelbagai soalan yang timbul.
“Persoalan juga meliputi kementerian mana yang akan meneraju projek ini, perkara ini akan diputuskan dalam Kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette