Home Nasional Dulu MyStandard kini MySAFE

Dulu MyStandard kini MySAFE

KUALA LUMPUR – Kerajaan menambahbaik sistem MyStandard yang digunakan pakai ketika ini dengan menjenamakan semula sistem itu kepada mySAFE.

Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, penambahbaikan dibuat untuk memberi perkhidmatan yang lebih cekap kepada pengguna.

Menurut kenyataan itu, penjenamaan semula sistem berkenaan membolehkan pengguna menyemak status pendaftaran syarikat, status deklarasi Certificate Of Conformance bagi barangan serta membuat carian mengenai penarikan balik barang dari pasaran, laporan kes-kes kecederaan dan barangan yang dilarang penjualannya.

“Integrasi dengan sistem e-Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya statistik dan data mengenai keselamatan barangan pengguna dan standard barangan diperolehi dan dijadikan rujukan asas dalam menyediakan cadangan dasar mengenai keselamatan barangan pengguna,” demikian menurut kenyataan tersebut.

KPDNHEP berkata, penggunaan aplikasi telefon pintar akan memudahkan pihak industri, pengguna awam serta pegawai-pegawai kementerian berkenaan mendapatkan maklumat atau perkhidmatan daripada sistem itu.

“Penambahbaikan Modul Laporan untuk kegunaan pegawai selaras dengan perubahan yang dicadangkan dan pembangunan sistem mySAFE dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” ujarnya.

Justeru menurut kenyataan itu lagi, sistem berkenaan diharap dapat merealisasikan usaha KPDNHEP dalam memberikan perkhidmatan dan informasi yang berkesan kepada pihak industri dan pengguna umum.

KPDNHEP hari ini melancarkan Sistem mySAFE yang sebelum ini dikenali sebagai MyStandard.

Ia adalah sistem yang dibangunkan oleh Kementerian tersebut sejak Jun 2012 untuk memudahkan pihak industri melaksanakan proses pematuhan terhadap peraturan standard keselamatan mainan kanak-kanak dan bateri primer secara atas talian.

Sistem mySAFE dijangka beroperasi secara langsung menggantikan MyStandard pada November depan dan satu sesi taklimat sistem MySAFE akan diadakan sebelum sistem ia beroperasi.- MalaysiaGazette