Home Seni Hidup LZS cari wanita tular minta sedekah

LZS cari wanita tular minta sedekah

Wajah wanita yang dicari seperti tular di laman sosial baru-baru ini dimuat naik di Facebook LZS.

KUALA LUMPUR – Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang mencari seorang wanita yang kerap berjalan seorang diri dari Jalan Kebun ke Kampung Jawa meminta sedekah.

Laman Facebook LZS memaklumkan, pencarian itu telah dilakukan selepas tersebarnya video wanita tersebut di laman-laman sosial.

Menurut LZS, Skuad Saidina Umar (SSU) dan Operasi Agihan Daerah Klang Zakat Selangor menerima aduan berkenaan dan bertindak segera dengan menjalankan misi mencarinya sejak petang semalam.

“Sehingga lewat malam tadi cuaca hujan, misi masih belum berjaya menemuinya,” katanya.

Dalam pada itu, maklumat yang diterima daripada penduduk sekitar mengesahkan bahawa wanita itu kerap berada di sekitar kawasan tersebut dengan merayau tanpa tujuan.

“Dikhabarkan, beliau mengalami tekanan jiwa selepas gagal dalam rumah tangga, suaminya seorang mualaf telah meninggalkannya, manakala anak– anak pula diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk penjagaan.

“Tekanan yang dihadapi semakin teruk kerana beliau tinggal seorang diri dan tidak mahu berjumpa sesiapa pun.

“Kini beliau berjalan tanpa arah tujuan dan tidak diketahui tempat sebenar beliau bermalam,” ujar LZS lagi.

Pegawai LZS menanyakan sesuatu kepada seorang peniaga kedai runcit dalam usaha mencari wanita berkenaan

LZS mengesahkan bahawa wanita itu merupakan penerima bantuan dari Zakat Selangor dengan bantuan kewangan bulanan berjumlah RM300, bantuan hari raya tahunan dan bantuan lain.

Katanya, LZS sedang giat berusaha mencari wanita tersebut untuk diberi bantuan yang sewajarnya.

“Kami jalankan amanah agihan zakat ini sebaiknya. Bantulah kami dalam membantu mustahiq.

“Sekiranya anda terjumpa wanita ini di sekitar Lembah Klang, mohon terus sampaikan maklumat kepada Pegawai kami, di talian 011-20899419 untuk tindakan segera,” tambah LZS. – MalaysiaGazette