Home Utama Mekanisme baru persaraan tidak babitkan kakitangan awam sedia ada

Mekanisme baru persaraan tidak babitkan kakitangan awam sedia ada

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan pada Sidang Dewan Rakyat sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kiri) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI 22, OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Semua anggota perkhidmatan awam yang telah sah dalam perkhidmatan dan mendapat taraf berpencen akan terus kekal menerima faedah dan kemudahan Skim Pencen, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemberian faedah persaraan kepada pesara Kerajaan merupakan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan dan jasa penjawat awam sepanjang perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam.

Faedah persaraan yang diperolehi oleh penjawat awam itu, katanya, dilindungi seperti mana yang ditetapkan di bawah Perkara 147, Perlembagaan Persekutuan iaitu Perlindungan Hak-hak Pencen dan dikawalselia melalui Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen Pihak- Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 2390.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan menghadapi cabaran untuk membiayai faedah persaraan berikutan jumlahnya yang semakin meningkat,” katanya ketika menjawab soalan tujuh ahli Parlimen berkaitan skim persaraan kakitangan awam di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir mengambil contoh perbelanjaan faedah persaraan pada tahun 2018 telah meningkat kepada RM23.87 billion berbanding RM5.86 billion pada tahun 2006.

Jumlah tersebut, katanya, dijangka meningkat setiap tahun terutamanya apabila kerajaan terdahulu telah beberapa kali menaikkan gaji penjawat awam pada peratusan yang agak tinggi sekali gus meningkatkan liabiliti.

Menurut perdana menteri, untuk menangani isu tersebut, kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme baharu yang tidak membebankan kerajaan dan pada masa yang sama, penjawat awam tidak rugi selepas mereka menamatkan perkhidmatan.

Menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau), Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak akan mengabaikan perjanjian yang telah ditandatangi oleh kaitangan awam.

“Bagi yang sudah bekerja mengikut dasar lama, kita akan kekal dengan dasar yang lama,” katanya. – MalaysiaGazette