KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan sudah memberikan amaran kepada mana-mana Ahli Parlimen kerajaan yang culas hadir ke sesi Dewan Rakyat.
Perkara itu katanya sudah dimuktamadkan di Mesyuarat Kabinet tentang peri pentingnya kehadiran di Parlimen.
“Kita dapati kadang-kadang Menteri berada di luar negara kerana sekarang terlalu banyak mesyuarat antarabangsa yang mereka perlu hadiri dan bagi Ahli Parlimen biasa mereka juga kadang-kadang ada masalah lain.
“Kadang-kadang mereka tidak ada dalam dewan tapi ada dalam bangunan ini. Jadi mereka boleh dipanggil dengan menggoncang loceng. Kita bagi amaran kepada mereka supaya hadir,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, isu Dewan Rakyat ‘kosong’ adalah perkara biasa yang berlaku di mana-mana negara.
“Saya pergi sekali di Kongres Amerika, saya dapati orang itu bercakap seorang saja, cuma ada dua orang lagi dalam dewan, tapi mereka tak bangkit soal korum, soal korum bangkit kadang-kadang pasal alasan politik,” katanya lagi.
Pada Khamis, Dewan Rakyat ‘kosong’ apabila Ahli Parlimen termasuk Menteri dan Timbalan Menteri didapati ‘ponteng’ atau tidak hadir ke sesi persidangan Dewan Rakyat.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya 26 Ahli Parlimen mesti berada di dalam dewan setiap kali berlangsung sesi perbahasan atau mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette
Kalau Menteri dan Timbalan dan MP tak hadir dalam DEWAN bukan kerana Sibuk,tapi PERUT DAH KEMBUNG MAKAN DEDAK JADI PEMALAS.