PUTRAJAYA – Kejayaan Azizulhasni Awang merangkul emas acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan memberi gambaran tidak mustahil beliau merealisasikan impian pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik Tokyo 2020.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan jaguh trek negara berusia 31 tahun itu itu sebagai seorang berjiwa kental dan mempunyai semangat juang yang tinggi.
Beliau berkata atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu memang adalah antara prospek pingat di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas merangkul gangsa pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
“Azizul ini seorang yang sangat fokus, saya rasa dia mampu melakukan sesuatu di Olimpik tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persatuan Badminton Masters Malaysia (MMBA) di sini semalam.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto 2-1 pada final Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon. – MalaysiaGazette