Home Ekonomi IHH rancang jual dua aset hospital di India

IHH rancang jual dua aset hospital di India

IHH
IHH Healthcare

NEW DELHI – Kumpulan penjagaan kesihatan Malaysia, IHH Healthcare Bhd merancang untuk menjual dua aset hospital di India Selatan kerana perbezaan dengan rakan kongsi tempatan, lapor media di India.

Memetik sumber tanpa mendedahkan namanya, Economic Times berkata pada Rabu, pengendali hospital Malaysia itu berhasrat untuk melupuskan 62.2 peratus kepentingannya di Hospital Continental berpangkalan di Hyderabad dan 74 peratus sahamnya di Global Hospitals kepada rakan kongsi India.

IHH mengambilalih Continental dan Global Hospitals pada 2015 dan telah memperkukuhkan kedudukannya di pasaran penjagaan kesihatan India tahun lepas selepas membeli rangkaian hospital, Fortis Healthcare Ltd.

Kemudahan Continental di Hyderabad mempunyai kapasiti sebanyak 750 katil sementara Global Hospitals menawarkan kira-kira 2,000 katil di bandar Hyderabad, Chennai, Bangalore dan Mumbai.

Menurut laporan berita itu, Gurunath Reddy, pengasas dan pengerusi Continental, berusaha mencari pelabur yang boleh membantu membeli saham daripada IHH, sementara K Ravindranath, pengasas dan pengerusi Global Hospitals, telah berbincang dengan pelabur ekuiti swasta untuk mencapai satu perjanjian. – MalaysiaGazette