Home Utama Ronnie Liu biadab – Maszlee

Ronnie Liu biadab – Maszlee

Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti yang dilakukan oleh Ronnie Liu adalah biadap dan sangat tidak berasas, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, budaya politik murahan sebegitu hanya akan merosakkan keadaan,  membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang Pakatan Harapan laksanakan.

“Saya ingin menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.

“Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara. Kedua perkara inilah yang membina negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maszlee turut mengulas mengenai komik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)’.

Beliau berkata, sebagai Menteri Pendidikan, beliau mengulangi penegasan bahawa komik propaganda politik tersebut tidak pernah mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan.

Malah, katanya, pihak kementerian tidak akan membenarkan pengedarannya ke sekolah-sekolah di bawah KPM.

Katanya, semua sekolah yang telah menerima komik tersebut telah diarahkan untuk tidak disebarluaskan.

“KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan,” katanya.

Maszlee berkata, beliau juga telah mengarahkan pihak kementerian menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik ini diedarkan di sekolah.

Kementerian juga, katanya, akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan itu akan dikenakan tindakan tegas.

Semalam Ronnie yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP dalam tulisannya yang bertajuk Mahathir: The paper tiger mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti yang diterajuinya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berkata, DAP, PKR, Amanah, Warisan dan UPKO yang secara keseluruhannya mempunyai 113 kerusi parlimen cukup untuk membentuk kerajaan tanpa Bersatu. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

Comments are closed.