Home Nasional SRC International: Hujah akhir bersambung hari ini

SRC International: Hujah akhir bersambung hari ini

Antara dokumen yang dibawa pada penghujahan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwa dan bela akan meneruskan sesi penghujahan kes berprofil tinggi SRC International Sdn Bhd yang melibatkan penyelewangan dana sebanyak RM42 juta juga dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar lagi.

Ini merupakan hari kedua sejak semalam, yang mana masing-masing pendakwa raya diketuai oleh Peguam Tommy Thomas dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berhujah manakala pasukan bela pula diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh dan Farhan Read.

Semalam, Harvinderjit dan Farhan berhujah sambil mengatakan dana berjumlah RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Najib antara 2014 dan 2015 itu sebenarnya atas arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Malah kata Harvinderjit, transaksi tersebut juga dilakukan tanpa pengetahuan Najib yang ketika ini juga berdepan dengan tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International.

Jelas Harvinderjit, fakta berhubung mengenai wang terbabit yang dimasukkan dalam akaun Najib pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 langsung tidak dipertikaikan oleh pembelaan pula.

Selain itu, kata Harvinderjit tindakan kerajaan untuk memberikan Jaminan Kerajaan kepada SRC bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pada 2011 dan 2012 tidak menimbulkan sebarang kaitan dengan wang RM42 juta yang dipindahkan ke dalam akaunnya.

“Pendakwaan perlu membuktikan Najib menggunakan kedudukannya untuk menerima ganjaran itu sebagai berniat jahat.

“Selain itu, kriteria dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) gagal dibuktikan pendakwaan ke atas anak guam kami.

“Seharusnya anak guam kami dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri berikutan pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie,” ujarnya.

Bagaimanapun, ketika membalas kembali hujah Harvinderjit, Tommy dalam nada sinis dan hairan pula membangkitkan beberapa persoalan tentang transaksi RM42 juta ke dalam akaun Najib ketika masih bergelar Perdana Menteri.

Dakwa Tommy, adalah mustahil dan luar untuk Najib langsung tidak mengetahui tentang wang RM42 juta yang telah di depositkan oleh individu lain walhal beliau pada masa telah menggunakan dana itu untuk segala macam perkara.

Tommy menyoal bagaimanakah Najib ‘berjaya’ mengeluarkan hampir 100 cek tanpa walaupun satu daripadanya di tendang sedangkan dirinya tidak mengetahui baki dalam akuan peribadi tersebut.

“Tolonglah, tertuduh perlu jelaskan kepada kita bagaimanakah seseorang dengan gaji tidak sampai RM1 juta setahun boleh ada pemindahan sebanyak RM42 juta ke dalam akuan peribadinya.

“Dalam banyak-banyak cek yang telah dikeluarkan oleh tertuduh dari Ambank, tidak ada satu yang telah di tendang juga. Ini amat luar biasa bagi seseorang yang mendakwa tidak tahu apakah yang telah berlaku kepada akuan banknya.

“ Nampaknya Santa Krismas’ telah mengkreditkan wang sebanyak RM42 juta ke dalam akuan. Juga tertuduh telah membelanjakan begitu banyak cek tanpa langsung mempersoalkan bank itu, juga tidak menyaman, pasukan pembela perlu jawab,” katanya.

Kata Tommy lagi, undang-undang pelanggan-bank adalah ketat sehingga pelanggan mempunyai kewajiban kontrak dan undang-undang untuk memeriksa penyata bank bulanannya dalam tempoh yang munasabah, untuk mengatakan bank itu telah mendepositkan akaun tersebut secara salah.

Perbicaraan  akan bermula sekitar jam 9.30 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan hujah akhir dijangka akan habis pada sebelah petang ini. –MalaysiaGazette

SRC International: Tak masuk akal Najib cuba curi RM42 juta