Home SISWA UTeM hasilkan Sistem Perangkap Sampah Sungai

UTeM hasilkan Sistem Perangkap Sampah Sungai

Mohd Idain Fahmi (dua dari kanan) bersama Naib Canselor UTeM Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim (2 dari kiri), Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim (kiri) dan Pengarah Earth Doctor General Incorporated Association Japan_Atsumasa Sato (kanan sekali) di PECIPTA 19.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam penghasilan produk inovasi menerusi penyelidikan yang dijalankan oleh barisan penyelidiknya.

Yang terbaharu, penyelidik UTeM telah menghasilkan adalah Sistem Perangkap Sampah Sungai atau River Trash Collector System Mark III (RTCS).

Kepakaran dan teknologi inovasi yang telah dihasilkan ini sekaligus memberikan nafas baru dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sungai dan pantai dalam negara.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim
berkata, inovasi ini dihasilkan bersama oleh Jurutera Pengajar Kanan, Ts. Mohd Idain Fahmy, Pensyarah Matematik, Fariduddin Mukhtar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) bersama dengan ahli-ahli kumpulannya.

Menurut Ts. Mohd Idain, sistem ini secara fizikalnya berfungsi dengan integrasi sistem Internet of Thing (IoT) di samping pemantauan dalam talian menerusi pusat kawalan, aplikasi android dan sistem pesanan ringkas.

Jelasnya, RTCS boleh diintergrasi dengan sistem janaan kuasa melalui solar panel dan mini water turbine, selain bekalan 240v dari grid tempatan di samping ianya boleh dioperasikan secara individu, satu kumpulan di dalam kawasan yang sama atau beberapa kumpulan di kawasan yang berlainan.

Katanya, mereka telah memulakan pembangunan produk ini dengan kajian awal telah bermula sejak 2016 lagi dan masih berlangsung sehingga produk matang.

RTCS ini dibina berasaskan konsep Components on the
shelf (COTS) seperti profile aluminium, fiberglass dan kepingan
aluminium selain dilengkapi linear actuator dan sensor-sensor lain.

Penyelidikan dan inovasi RTCS dibangunkan dengan dana geran UTeM menerusi geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) sebanyak RM 25,000.00 dan turut menerima geran pengkomersilan Malaysia Technical University Network (MTUN) sebanyak RM 30,000.00.

Menurut beliau, potensi RTCS amat luas penggunaannya kerana
meliputi industri pembersihan bagi mengawal pencemaran sampah terapung, industri berkaitan pemantauan kawalan sekitar bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Di samping itu, ia boleh diaplikasikan dalam industi berkaitan
dengan perkapalan, petroleum dan gas bagi mencegah dan mengawal tumpahan minyak.

RTCS telah mencipta nama dan diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa apabila telah berjaya mencapai Anugerah Khas dari wakil syarikat Jepun, Earth Doctor General Incorporated Association di International Conference and Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA’19) di Univerti Tun Hussien Onn (UTHM).

Meraih pingat perak di 3rd National Innovation Competition 2018 (3rd INNOCOM 2018) di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis, selain pingat gangsa di PECIPTA 19 dan Pertandingan Rekacipta & Inovasi Institusi Pengajian Tinggi Swasta 2016
(PERINTIS’16) di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

RTCS dibangunkan bersama ahli-ahlinya yang lain yang memiliki pelbagai kepakaran iaitu Ts. Wan Norhisyam Abd Rashid, Dr Abdul
Munir Syah Lubis, Professor Ts. Dr. NorEffendi  Tamaldin dan Ts. Dr Fariza Abdul Wahab dari UTeM dan Dr. Khairil Mahmud dari Universiti Putra Malaysia. – MalaysiaGazette