Home Nasional Zainal Kling dipanggil ke Bukit Aman Jumaat ini

Zainal Kling dipanggil ke Bukit Aman Jumaat ini

Ketua Eksekutif Sekreteriat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling bercakap pada sidang media mengenai Kongres Maruah Melayu di Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Eksekutif, Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Zainal Kling akan dipanggil ke Bukit Aman Jumaat ini untuk memberi keterangan berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati di Shah Alam, pada 6 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, Zainal dipanggil berikutan laporan polis yang dibuat oleh pegawai khas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Percakapan pengadu kita telah rakam dan kita dah berhubung dengan profesor sendiri.

“Kita akan semak penganjur kongres maruah ini dan dia akan dipanggil juga untuk dirakam percakapan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Difahamkan, Zainal akan hadir ke Bukit Aman pada hari berkenaan pukul 10 pagi.

Zainal membuka tirai kongres yang berlangsung di Stadium Malawati pada 6 Oktober lalu dengan beberapa kenyataan keras yang menyentuh isu berkaitan perlembagaan persekutuan, kedudukan raja-raja dan juga kedudukan istimewa orang Melayu.

Katanya, meskipun orang bukan Melayu telah diberi kerakyatan, namun mereka sering langgar budi baik dan anugerah orang Melayu, sambil mengingatkan bahawa Malaysia adalah milik orang Melayu.

Huzir berkata, bagi kes itu polis membuka kertas siasatan mengikut seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain Huzir memberitahu, polis akan meletakkan nama seorang lelaki yang dikenali sebagai Navin Pillai di dalam senarai individu ‘dikehendaki’.

Ujarnya, polis mengesan individu terbabit kini berada di New Zealand namun, tidak boleh mengekstradisi lelaki itu kerana kes yang dilakukan tidak menjadi kesalahan di negara berkenaan.

“Tapi kita akan letak dia dalam wanted list. Jika dia kembali ke Malaysia atau dimana negara yang bersama dengan kita (Interpol), kita akan tangkap dan bawa balik kemari.

“Perkara ini tak boleh dibiarkan, pergi luar negara ikut suka buat komen begitu. Kita akan hantar juga kertas siasatan ke Pegum Negara dan jika ada tindakan lain kita akan ambil dan kalau ada arahan tuduh kita akan tuduh dia sekali,” tegasnya.

Sementara itu bagi kes lain Huzir berkata, polis telah menahan seorang suspek yang dipercayai membuat ugutan bunuh terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

Katanya, suspek ditahan di Temerloh selepas polis bertindak terhadap laporan yang dibuat di Jelapang, Perak.

Tambah beliau, polis telah mendapat perintah mereman individu terbabit selama tiga hari untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Kanun Keseksaan.

Jelas lagi, polis akan menyerahkan kertas siasatan bagi kes itu ke pejabat pendakwaraya untuk mendapatkan arahan lanjut. – MalaysiaGazette