Home Utama 6 wakil rakyat BN sokong Tun M teruskan lima tahun, Zahid kata...

6 wakil rakyat BN sokong Tun M teruskan lima tahun, Zahid kata itu bukan pendirian BN

Antara ahli Parlimen yang disebut-sebut hadir dalam pertemuan bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediaman rasminya di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini menyatakan sokongan terhadap cadangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan perdana menteri selama lima tahun.

Dalam satu sidang media di Dewan Rakyat, mereka berkata peralihan kuasa hanya akan mengakibatkan negara menjadi ‘lingkup’.

“Pelabur asing dan tempatan sangat curiga dengan polisi semasa di Malaysia dan peralihan kuasa tidak akan memanfaatkan negara,” kata Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahhar Abdullah bersama lima yang lain.

Mereka adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib; Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Adham Baba dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Sementara ity Adham berkata, Datuk Seri Anwar pernah menyatakan bahawa ada perjanjian bertulis antara Dr Mahathir dan Anwar sendiri, namun perkara itu dinafikan Azmin Ali.

“Ahli Parlimen Port Dickson kata dah ada persetujuan bertulis tapi dinafikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, dia cabar orang tunjuk bukti.

“Jadi ini meragukan dan saya nyatakan di sini kalau ini diteruskan, kita akan terus berhadapan dengan ekonomi yang tidak bagus dan pelabur boleh bawa lari duit mereka di negara ini.

“Tun Dr Mahathir patut teruskan jadi PM untuk lima tahun dan tidak perlu jalan belakang untuk memimpin negara,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis pula berkata: “Jangan ada ganggu gugat kepimpinan Tun Dr Mahathir hari ini. Jika tidak ada kacau ganggu, Dr Mahathir boleh laksanakan tugas-tugas beliau.”

Presiden BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, sokongan oleh barisan Ahli Parlimen tersebut tidak mewakili suara rasmi parti itu.

“Itu cuma pendapat mereka, bukan pendapat parti,” katanya di lobi Parlimen. -MalaysiaGazette