Home Dunia Kebakaran pusat konvensyen berjaya dipadamkan

Kebakaran pusat konvensyen berjaya dipadamkan

Pusat Konvensyen Antarabangsa New Zealand yang bakal menjadi hos APEC terbakar Selasa lalu sudah berjaya dipadamkan. foto Agensi

AUCKLAND – Kebakaran besar di projek pembinaan pusat konvensyen di sini telah berjaya dikawal selepas dua hari.

SkyCity Entertainment Group berkata, kebakaran itu berlaku pada hari Selasa di kawasan pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa New Zealand yang dibina oleh firma pembinaan Fletcher Building Ltd.

SkyCity berkata, pasukan bomba dan kecemasan masih berada di lokasi projek bernilai NZ$703 juta sehingga kebakaran benar-benar dapat dipadam sebelum diserahkan semula kepada Fletcher.

Beberapa bahagian SkyCity Auckland akan dibuka semula pada hari Khamis.

Fletcher berkata, ia akan menyiasat punca kebakaran dan kerosakan sebaik sahaja api dapat dipadamkan sepenuhnya.

Ia juga menjangka kerja-kerja material projek itu akan tertangguh.

Pusat konvensyen itu sepatutnya menjadi lokasi penganjuran acara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun 2021.

Meskipun New Zealand akan meneruskan acara itu tetapi Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, negara itu akan mencari lokasi alternatif. – MalaysiaGazette