Home Nasional MAIWP jumpa wakil universiti bantu isu mahasiswa miskin

MAIWP jumpa wakil universiti bantu isu mahasiswa miskin

Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Susulan isu mahasiswa miskin, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengadakan pertemuan dengan enam wakil universiti awam hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pertemuan itu susulan daripada arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof semalam.

Perbincangan telah diadakan dengan pegawai Hal Ehwal Pelajar dan wakil Majlis Persatuan Pelajar Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi MARA Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

“Pertemuan langsung dengan pentadbir dan pelajar membolehkan MAIWP mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar dan beberapa cadangan akan diperhalusi bagi menyantuni mahasiswa miskin dan memastikan mereka mendapat quality education selari dengan Sustainable Development Goals 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara umumnya, menurut Abdul Aziz, beberapa keperluan pelajar yang perlu difokuskan adalah makanan, tempat tinggal dan beberapa perkara lain seperti komputer riba serta bantuan kepada pelajar OKU.

“Penerangan ringkas tentang program-program bantuan zakat yang dilaksanakan oleh MAIWP turut dikongsikan seperi Bantuan Am Pelajaran IPT dan Biasiswa Baitulmal yang kini telah membantu hampir 5,000 orang mahasiswa,” katanya.- MalaysiaGazette