Home Nasional PATI guna kad UNHCR palsu, bayar RM200 sekepala

PATI guna kad UNHCR palsu, bayar RM200 sekepala

SALAH satu aksi PATI cuba melarikan diri semasa serbuan JIM di Klang baru-baru ini.-pix JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 177 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan di satu kawasan Pangsapuri di Klang dekat sini baru-baru ini.

Operasi itu melibatkan 170 orang pegawai dari JIM Putrajaya, JIM Selangor, JIM Kuala Lumpur, JIM negeri Sembilan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

Sebanyak 149 buah rumah dan seramai 253 penghuni pangsapuri diperiksa dan hasilnya seramai 177 orang warga asing ditahan.

Pecahan dari 177 yang ditahan itu ialah 75 orang warga Bangladesh, 50 orang warga Indonesia, 3 orang warga Nepal, 3 orang warga Kemboja, 12 orang warga India, 28 orang warga Myanmar, 4 orang warga Pakistan dan 2 orang warga Sri Lanka. Kesemua yang ditahan berumur antara 20an – 50an.

“Beberapa orang PATI dikesan menggunakan kad UNHCR dan kad MYRC yang disyaki palsu dan hasil dari soal siasat di lokasi, mereka mengaku ianya palsu dan telah membayar sebanyak RM200 kepada ejen untuk mendapatkan kad tersebut,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan susulan,” ujarnya.

Sepanjang tempoh bermula 1 Januari 2019 sehingga 23 Oktober 2019 JIM telah mengadakan sebanyak 14,582 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan seramai 170,808 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 43,476 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Selain itu, 1,086 majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu dan daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 14,629 orang diikuti oleh warga Bangladesh seramai 9,450, Myanmar seramai 4,559, Filipina seramai 3,445 dan bakinya adalah dari negara-negara lain.-MalaysiaGazette