Home Nasional Penghantar makanan warga Singapura didakwa bunuh isteri, anak tiri

Penghantar makanan warga Singapura didakwa bunuh isteri, anak tiri

Shahrul Nizam (kiri) didakwa membunuh Norfazera dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka

MELAKA – Seorang penghantar makanan warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan membunuh isteri dan anak lelaki tirinya di Batu Berendam, antara 6 dan 7 Okt lepas.

Shahrul Nizam Zuraimy, 31, didakwa membunuh Norfazera Bidin, 27, di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini antara pukul 9.00 malam pada 6 Okt lepas, dan pukul 1.00 pagi, 7 Okt.

Lelaki itu turut didakwa membunuh seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di lokasi, waktu dan hari yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim, kerana kes berkenaan merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 16 Dis untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari manakala Shahrul Nizam tidak diwakili peguam.

— BERNAMA