Home Utama Rampas komik kontroversi jika masih berada dalam pasaran

Rampas komik kontroversi jika masih berada dalam pasaran

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri akan merampas buku komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” jika ia masih berada dalam pasaran.

Malah, Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menasihatkan orang ramai jangan baca buku komik berkenaan.

“Sekiranya komik tersebut masih ada dalam pasaran, maka ia akan dirampas.

“Kita sudah teliti dan kaji memang ada asas kukuh bukan kerana apa-apa sentimen atau tindakan dari apa-apa dari mana mana pihak.

“”Saya terpaksa ambil tindakan secepat mungkin. Saya hanya hendak nasihat perkara itu sudah keluarkan larangan. Elok jangan kita baca dan elak guna buku itu,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” disebabkan oleh sentimen tertentu.

Semalam, KDN mengharamkan pengedaran dan penerbitan komik Hew Kuan Yau yang menjadi kontroversi selepas diedarkan di sekolah tertentu di Pulau Pinang.

Perintah Larangan itu turut terpakai bagi versi bahasa Inggeris “Belt & Road Initiative For Win-Winism” dan versi Bahasa Cina “互利共赢的 一带一路 ” melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

KDN sebelum ini berkata, penerbitan tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis. – MalaysiaGazette